PETKOVIC sedia ambil risiko. FOTO/AFP
PETKOVIC sedia ambil risiko. FOTO/AFP
AFP

NIZHNIY NOVGOROD: Jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic menegaskan beliau membuat keputusan tepat dengan membariskan pasukan terkuat ketika bertemu Costa Rica meskipun dua pemain pertahanannya bakal terlepas pertemuan dengan Sweden di pusingan kedua akibat penggantungan.

Kapten, Stephan Lichtsteiner dan Fabian Schaer yang sudah melakukan hampir 150 penampilan, tidak dapat beraksi pada pusingan kedua, 3 Julai ini selepas kedua-duanya dilayangkan kad kuning kedua pada perlawanan hari ini.

Bagaimanapun, Petkovic berkata, sasaran utama mereka adalah untuk layak ke pusingan kalah mati dan segala kebimbangan hanya akan difikirkan selepas itu.

“Objektif utama adalah untuk layak, jadi kami perlu pastikan dapat memenuhi sasaran itu,” kata Petkovic selepas menyaksikan anak buahnya meraih keputusan seri 2-2 yang membolehkan Switzerland mengumpul satu mata sekali gus menjamin tempat ke pusingan kedua.

Pertemuan dengan Costa Rica menyaksikan Switzerland di depan dua kali dengan gol kedua pada minit ke-88 namun lawan berjaya memperoleh gol penyamaan pada masa kecederaan menerusi gol sendiri penjaga gol Switzerland, Yann Sommer berpunca daripada sepakan penalti Bryan Ruiz.

Switzerland layak ke pusingan kalah mati dengan mengumpul lima mata daripada tiga perlawanan di belakang pendahulu kumpulan, Brazil.

“Sebelum perlawanan saya sudah beritahu akan membariskan pasukan terbaik.

“Kami mempunyai 23 pemain di dalam skuad. Agak malang bagi dua pemain itu tetapi sudah terlambat untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Menjelang pertemuan dengan Costa Rica, empat Switzerland sudah mengumpul kad kuning.

Selain Lichtsteiner dan Schaer, pemain tengah, Valon Behrami serta perancang, Xherdan Shaqiri turut berdepan risiko digantung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 9:04 AM