Fernando Hierro pada sesi latihan pasukannya di Krasnodar. FOTO Agensi
Fernando Hierro pada sesi latihan pasukannya di Krasnodar. FOTO Agensi
Agensi

JURULATIH baharu Sepanyol, Fernando Hierro merancang untuk meneruskan persiapan yang sudah diatur oleh Julen Lopetegui bagi menghadapi Portugal dalam aksi pembukaan Piala Dunia esok.

Lopetegui memiliki rekod 20 perlawanan tanpa kalah sebagai jurulatih dengan melakar 14 kemenangan dan enam seri, namun dipecat selepas diumumkan sebagai jurulatih Real Madrid, Selasa lalu.

“Hanya perubahan kecil boleh dilakukan,” kata Hierro dalam sidang media semalam.

“Anda tidak boleh melakukan perubahan latihan dalam masa dua hari dan sebahagian besar pegawai teknikal pasukan juga masih bersama kami. Kami sudah menyaksikan video bagi perlawanan selepas ini dan kami perlu menggunakan kebijaksanaan kami. Malah sukar untuk membuat perubahan dalam tempoh masa agak singkat sebelum bertemu Portugal.

“Saya mengikuti semua sesi latihan sebelum ini dan dengan apa yang kami lalui memang saya tak boleh membuat perubahan dalam masa dua hari.”

Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales membuat ‘kerja gila’ apabila memecat Lopetegui semalam - dua hari sebelum La Roja menentang Portugal atas kesalahan bersetuju menjadi jurulatih baharu Real tanpa pengetahuan mereka.

Hierro, bekas kapten Real Madrid, enggan mengkritik tindakan kelab lamanya itu dan mengakui peluang untuk mengendalikan skuad kebangsaan adalah sukar untuk dilepaskan.

“Ia cabaran yang baik. Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan kerja yang dilakukan oleh Julen sebelum ini cukup hebat. Saya ucapkan semoga berjaya kepadanya,” katanya.

“Saya perlu membuat keputusan dengan cepat kerana saya perlu menerima atau terus meninggalkan pasukan ini, tetapi ternyata saya tidak boleh menyatakan tidak. Saya pasti tidak dapat memaafkan diri sendiri nanti.”

Pengendali berusia 50 tahun itu hanya memiliki pengalaman melatih kelab divisyen dua, Oviedo namun percaya semua pemain sudah bersedia untuk melupakan segala kekalutan yang melanda untuk memberi fokus menjuarai Piala Dunia kedua, bermula dengan aksi menentang juara Eropah, Portugal di Sochi.

“Mereka pemain profesional yang cukup matang dan bertanggungjawab. Jika saya tidak yakin kami tidak boleh mencapai sesuatu dalam kejohanan ini, saya tidak akan berada di sini,” kata Hierro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 1:21 PM