SKUAD Sepanyol pada sesi latihan di Krasnodar. FOTO Agensi
SKUAD Sepanyol pada sesi latihan di Krasnodar. FOTO Agensi
Agensi

PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales menegaskan tidak berlakunya ‘pemberontakan’ dalam kalangan pemain selepas pemecatan Julen Lopetegui.

Lopetegui dipecat selaku jurulatih skuad La Roja secara mengejut semalam, hanya sehari sebelum Piala Dunia membuka tirainya.

Pemecatan itu dibuat sehari selepas Lopetegui diumumkan sebagai pengendali baharu Real Madrid dengan Rubiales mengakui beliau hanya mengetahui berita itu beberapa minit sebelum diumumkan.

Meskipun ada laporan yang menyatakan pemain mahu Lopetegui untuk terus mengendalikan pasukan itu, Rubiales menjelaskan pasukan itu tetap gembira menjelang kejohanan.

“Saya mendengar pandangan semua orang namun keputusan di tangan saya,” katanya.

“Pemain tetap bertekad untuk menjadikan aksi kali ini sebagai aksi yang hebat. Tiada pemberontakan kerana semuanya berjalan lancar.”

Legenda Real Madrid, Fernando Hierro menggantikan Lopetegui untuk membawa cabaran pasukan itu dalam Kumpulan B bertemu Portugal, Iran dan Maghribi.

Rubiales turut menyatakan pelantikan jurulatih berusia 50 tahun itu diterima dengan baik oleh pemain.

“Pemain mengalu-alukan kedatangan Hierro dan pemain memberitahu mereka akan terus setia bersama Hierro.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 3:15 PM