PEREZ ketika sidang media memperkenalkan pelantikan Lopetegui. FOTO Reuters
PEREZ ketika sidang media memperkenalkan pelantikan Lopetegui. FOTO Reuters
Reuters

PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez mempertahankan pelantikan Julen Lopetegui selaku jurulatih baharu pasukan itu selepas dia dipecat sebagai jurulatih Sepanyol hanya sehari sebelum Piala Dunia bermula.

 Sepatutnya Lopetegui membantu persiapan Sepanyol menentang Portugal esok, namun sebaliknya dia berada di Madrid untuk diperkenalkan selaku pengganti Zinedine Zidane.

 Lopetegui nyata penuh emosi apabila berada di Santiago Bernabeu, 24 jam, selepas pulang ke tanah air susulan pemecatan memalukan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales.

 Rubiales menjelaskan pemecatan Lopetegui adalah kerana dia hanya dimaklumkan mengenai perkara itu lima minit sebelum perkembangan itu diumumkan secara rasmi namun Perez menegaskan pihaknya melakukan perkara yang sepatutnya.

 “Real Madrid dan Julen mencapai kata persetujuan dengan bebas. Objektif kami adalah untuk menunjukkan ketelusan dan mengelak daripada khabar angin,” kata Perez.

 “Kami terkejut apabila ada mengatakan situasi ini akan menjejaskan suasana dalam kem Sepanyol yang dibarisi pemain bertaraf tinggi yang sudah tentu tidak akan membiarkan sebarang perkara mengganggu persembahan mereka.

 “Tiada satu perkara pun yang sepatutnya dijadikan punca Lopetegui tidak dapat terus bersama pasukan Sepanyol.”

 Lopetegui belum lagi tewas dalam 20 perlawanan yang dikendalikan dengan skuad La Roja itu menjadi antara pasukan pilihan untuk merangkul Piala Dunia di Russia.

 Bekas pertahanan Real Madrid, Fernando Hierro dilantik selaku jurulatih baharu menggantikan Lopetegui.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 4:50 PM