HIERRO mengambil alih Sepanyol dalam waktu yang singkat. FOTO/AFP
HIERRO mengambil alih Sepanyol dalam waktu yang singkat. FOTO/AFP
Reuters

MOSCOW: Jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro mengakui tidak kesal menggalas tugas dua hari sebelum Piala Dunia bermula sejurus anak buahnya tersingkir pada pusingan kedua di tangan tuan rumah Russia, sebentar tadi.

Hierro, kelihatan tenang walaupun tewas berkata, mereka sudah melakukan semuanya mengikut perancangan namun kadangkala tidak memihak kepada mereka, dengan Sepanyol mendominasi 120 minit aksi dengan keputusan 1-1 dan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Beliau berkata, Sepanyol tidak seharusnya mengubah corak permainan mereka walaupun gagal memecah kebuntuan benteng pertahanan Russia.

“Seperti rakyat Sepanyol yang lain, kami turut menaruh harapan dan impian tinggi. Kami sedih tidak mampu melakukannya kepada jutaan yang menonton di Sepanyol,” katanya.

“Hanya persoalan mengenai menang atau tewas dalam bola sepak. Saya boleh mengatakan, kami sentiasa berwaspada antara satu sama lain. Pemain amat luar biasa dalam aspek usaha, profesional dan perpaduan.

“Terlalu banyak kesedihan dengan penyingkiran ini membabitkan pemain, staf kejurulatihan dan pasukan,” katanya.

“Harapan kami tinggi di Piala Dunia dan ia tidak menjadi kenyataan. Namun saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.”

Pelantikan Hierro dilihat terburu-buru selepas menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat apabila gagal memaklumkan kepada Persekutuan Bolasepak Sepanyol perpindahannya selepas Piala Dunia, sekalipun sebelumnya melanjutkan kontrak sebagai jurulatih Sepanyol.

“Saya bukan individu yang suka mengambil kesempatan,” kata Hierro yang juga sebahagian daripada staf kejurulatihan Lopetegui.

“Ia situasi ketika itu... tidak perlu untuk melihatnya kembali. Saya mengambil tanggungjawab menjadi jurulatih dua hari sebelum aksi menentang Portugal... saya fikir perlu melakukannya dan menerima akibatnya.”

Ditanya mengenai corak permainan Sepanyol, beliau berkata: “Kami mempunyai identiti kerana karakter pemain yang kami miliki. Kami perlukan personaliti... sebelum kami mula memenangi kejuaraan, orang mengatakan kami tidak mempunyai identiti.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 4:01 AM