RAMADHAN tekad bantu Kedah perkemas gawang. FOTO/FAIL
RAMADHAN tekad bantu Kedah perkemas gawang. FOTO/FAIL
Izzali Ismail


PENJAGA gol baharu Kedah, Ramadhan Hamid bertekad membantu Kedah keluar daripada kekecewaan seandainya dia dipilih beraksi pada pertemuan dengan bekas pasukannya Kelantan sekali lagi untuk aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Ramadhan yang pernah menjadi penjaga gawang kedua skuad The Red Warriors itu berkata, semangatnya juga kian melonjak sejak namanya disebut oleh ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff untuk menggantikan Ifwat Akmal Chek Kassim yang belum pulih daripada kecederaan.

“Saya berharap dapat membantu Kedah keluar daripada kekecewaan susulan dua kekalahan lalu dan sebagai pemain baharu dalam pasukan, saya berharap dapat memberi aksi terbaik untuk membuktikan kemampuan.

“Walaupun sudah agak lama saya tidak beraksi namun demi panggilan tugas, saya bersedia melakukan tugas dengan komitmen tinggi apatah lagi melihat rakan seperjuangan saya Ifwat Akmal yang kini masih mengalami kecederaan.

“Tambahan pula bertemu bekas pasukan, saya rasa inilah masanya saya buktikan kepada mereka peningkatan saya sejak meninggalkan Kelantan,” katanya.

Ramadhan, 24, yang juga bekas penjaga gol Harimau Muda dan skuad B-22 Malaysia berkata, dia sudah mengamati rentak serangan Kelantan pada perlawanan Selasa lalu dan dapat menjangkakan corak permainan mereka seterusnya.

“Saya sudah melihat rentak serta corak serangan Kelantan dan dari situ.. saya dapat keyakinan untuk turun dengan persembahan terbaik buat kali pertama bersama Kedah sekiranya dipilih.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 12:32 PM