BEKAS pemain tengah remaja kebangsaan Perancis dan Lyon, Harry Novillo sertai JDT.
BEKAS pemain tengah remaja kebangsaan Perancis dan Lyon, Harry Novillo sertai JDT.
Rizar Mohd Noor


JUARA Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal mendapatkan khidmat bekas pemain tengah remaja kebangsaan Perancis dan Lyon, Harry Novillo dalam usaha memperkukuhkan pasukan itu musim ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi akaun Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, hari ini.

Ia bagi menggantikan pemain penyerang kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang meninggalkan skuad berkenaan sebelum ini.

Novillo, 26, yang membuat sembilan penampilan sepanjang mewakili skuad bawah 17 dan bawah 19 tahun Perancis, dijangka membuat kemunculan pertamanya bersama skuad Harimau Selatan, selepas jendela perpindahan dibuka.

“Merah, putih dan biru. Api apabila ia dibakar, ia akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dihalang. Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang bermain di Dubai ketika ini.

“Beliau akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

“Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain yang berkaliber, pemain muda yang dahagakan sesuatu pencapaian terbaik, serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang, paling bercita-cita dan bersungguh-sungguh di Asia Tenggara,” kata Prest.

Sementara itu, mengulas mengenai perpindahannya ke JDT, Novillo yang beraksi bersama kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Baniyas FC dan sudah berjaya meledak 10 gol dalam 13 aksi setakat ini, berkata:” Saya membara, anda membara, letakkan kami bersama, bagaimana mereka akan menghalang kami?”.

Dalam perkembangan berkaitan, Prest berkata JDT akan turut membawa masuk pemain import baharu bagi menggantikan Luciano Figueroa.

Namun, katanya, Figueroa akan kekal berlatih bersama JDT selain memainkan peranan sebagai duta dan pegawai motivasi untuk skuad berkenaan.

“Luciano Figueroa akan digantikan dengan penyerang baharu yang akan kami perkenalkan tidak lama lagi. Kami yakin pemain itu akan membantu mempertingkatkan lagi prestasi JDT selepas ini,” katanya.

Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad kendalian Raul Longhi kini menghuni tangga teratas Liga Super selepas mengumpul 12 mata, kelebihan dua mata di belakang Pahang.

Kedua-dua pasukan akan bertembung pada saingan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, 6 April depan, namun JDT tidak dapat mempertaruhkan Novillo dan pemain import baharu berikutan masih belum boleh didaftarkan.

Tingkap perpindahan kedua dibuka pada 14 Mei sehingga 10 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 8:35 PM