PRESIDEN Persatuan Angkat Berat, Datuk Ayub Rahmat ketika hadir pada sidang media khas selepas mepengerusikan mesyuarat di Wisma OCM. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN Persatuan Angkat Berat, Datuk Ayub Rahmat ketika hadir pada sidang media khas selepas mepengerusikan mesyuarat di Wisma OCM. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Khairie Khalid


PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil keputusan drastik hari ini apabila memutuskan tidak akan menghantar atlet menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa dalam tempoh setahun, berkuat kuasa serta merta.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, keputusan itu susulan kes doping yang sering kali menghantui sukan berkenaan selain menghantar isyarat kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) betapa mereka memandang serius gejala negatif itu.

“Keputusan ini bermakna kita juga tidak akan menghantar atlet bertanding pada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Ogos depan. 

“Walaupun tidak menyertai kejohanan antarabangsa, kita akan terus memperkukuhkan pembangunan latihan atlet.

“Kita akan memantau pembangunan atlet dan ia akan dilakukan secara berterusan,” kata Ayub pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pertama PABM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Ayub pada masa sama menegaskan setiap atlet yang mahu menyertai kejohanan tempatan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018, September depan perlu mendapatkan Sijil Bebas Doping serta menjalani ujian di Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

“Jika atlet daripada MSN (Majlis Sukan Negara) mahupun negeri tidak mempunyai sijil daripada ADAMAS, bermakna mereka tidak akan dibenarkan bertanding,” katanya.

Ayub bagaimanapun menegaskan keputusan itu bukan bertujuan untuk menghukum atlet, tetapi PABM lebih memikirkan masa depan dan menyelamatkan sukan berkenaan daripada berkubur.

Mengulas lanjut, Ayub berkata pihaknya turut menubuhkan Jawatankuasa Bebas Anti-Doping dianggotai wakil bebas, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) untuk memastikan sukan ini terus diminati masyarakat.

“Kita bersetuju menubuhkan jawatankuasa ini bagi mendapatkan gambaran secara menyeluruh berhubung kes-kes yang berlaku selain memastikan angkat berat kembali dimasukkan ke dalam sukan teras.

“Jawatankuasa ini berperanan memberi maklumat secara menyeluruh dan ia akan dibentangkan tiga bulan selepas mesyuarat hari ini. Selain itu mereka akan mencadangkan produk sesuai kepada atlet,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun ini sahaja sebanyak empat kes doping membabitkan atlet angkat berat negara dengan seorang daripadanya adalah pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 9:51 PM