OGAWA (kanan) melepas kawalan Leopold Alfonso Otong pada sesi ujian pemilihan pemain import yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin. FOTO/IHSAN SABAH FA.
OGAWA (kanan) melepas kawalan Leopold Alfonso Otong pada sesi ujian pemilihan pemain import yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin. FOTO/IHSAN SABAH FA.
Ryan Stanley


PEMAIN dari Jepun, Keisuke Ogawa sah menyarung jersi Sabah selepas mengikat kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), di sini, hari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama enam bulan dalam majlis ringkas yang turut dihadiri Timbalan Presiden SAFA, Datuk Lawrence Gimbang di pejabat persatuan itu, dekat sini.

"Kita membuat keputusan ini selepas barisan jurulatih berpuas hati dengan prestasi beliau (Keisuke) sepanjang sesi pemilihan yang dilakukan sebelum ini.

"Kita harapkan kehadiran Keisuke akan mampu memperkuatkan lagi pasukan Sabah. Kita sangat mengalu-alukan kehadiran beliau," katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Turut hadir Naib Presiden SAFA, Benedict Asmat; Pengurus Pasukan, Datuk Juil Nuatim; Setiausaha Eksekutif SAFA, Hasbullah Yahya dan Ketua Jurulatih, Jelius Ating.

Sementara itu, Lawrence berkata, pihaknya juga membuat keputusan untuk membawa masuk semula penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic.

"Selepas mendapat cadangan daripada ketua jurulatih (Jelius), kita juga akan menawarkan kontrak selama enam bulan kepada Paunovic yang dijangka tiba di sini esok.

"Bagaimanapun setakat ini, kita belum dapat mengesahkan sama ada Keisuke sempat beraksi Sabtu ini bertemu UKM FC. Kita sedang berusaha untuk mempercepatkan segala proses yang perlu dilakukan.

"Bagi Paunovic pula, beliau tidak akan beraksi pada Sabtu ini kerana bakal melangsungkan perkahwinan pada Ahad," katanya.

Kemasukan Keisuke dan Paunovic sekali gus mengisi kekosongan dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontrak selepas berakhir pada 17 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 1:47 PM