PAUNOVIC menandatangani kontrak SAFA. FOTO/SAFA
PAUNOVIC menandatangani kontrak SAFA. FOTO/SAFA
Ryan Stanley


PEMAIN dari Serbia, Rodoljub Paunovic sah menyertai semula Sabah selepas mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan itu, hari ini.

Penyerang berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak yang disediakan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, menerusi wakil persatuan berkenaan.

Kemasukan Paunovic itu sekali gus melengkapkan kuota empat pemain import pasukan selepas SAFA turut mengikat pemain dari Jepun, Keisuke Ogawa.

Paunovic dan Keisuke menggantikan Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontrak mereka selepas tamat pada 17 Mei lalu.

Dua lagi pemain import dikekalkan ialah pertahanan dari Zambia, Francis Kansode dan penyerang dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos.

Ketika dihubungi Paunovic berkata, dia berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap akan meledak lebih banyak gol.

Pemain itu menjaringkan sembilan gol bersama Sabah selepas dibawa masuk oleh ketua jurulatih, Jelius Ating pada pertengahan musim lalu.

Bagaimanapun, Paunovic terlepas aksi bertemu UKM FC di Stadium Likas pada Sabtu ini apabila terpaksa berlepas semula ke Serbia untuk melangsungkan perkahwinan keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 3:09 PM