Peter Anthony (kanan) mempengerusikan mesyuarat PAFA hari ini. Turut sama Timbalan Presiden SAFA Datuk Rahman Zakaria. FOTO Bernama
Peter Anthony (kanan) mempengerusikan mesyuarat PAFA hari ini. Turut sama Timbalan Presiden SAFA Datuk Rahman Zakaria. FOTO Bernama
Ryan Stanley


SABAH bakal mendapatkan khidmat pengendali baharu berikutan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan ketua jurulatih bagi pasukan Liga Super perlu memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata, pengendali sebelum ini, Jelius Ating, setakat ini, masih belum memiliki lesen yang diwajibkan itu dan pihaknya terpaksa mencari pengganti.

"Kami telah cuba mengemukakan rayuan kepada FAM untuk memberi kelonggaran agar Jelius dapat terus membimbing skuad Sabah namun gagal.

"Kalau saya, sudah pasti saya pilih Jelius kerana sumbangan besarnya sehingga pasukan kita berjaya muncul juara Liga Perdana musim ini serta layak beraksi di Liga Super musim depan.

"Bagaimanapun kita terpaksa akur dengan peraturan ditetapkan FAM pihak SAFA juga telah mengenal pasti beberapa calon yang sesuai bagi menggantikan tempat Jelius," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kongres Tahunan SAFA, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Peter turut membayangkan pengendali baharu Sabah nanti adalah daripada luar negara yang memiliki lesen kejurulatihan Pro A AFC.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Jelius, beliau berkata, pasukan Sabah akan tetap menggunakan khidmat bekas pemain berusia 48 tahun sebagai pembantu jurulatih.

"Kita masih perlukan Jelius dan saya harap di samping menjadi pembantu kepada ketua jurulatih nanti, beliau akan belajar daripada pengendali pasukan dan di masa akan datang akan dapat mengambil lesen Pro A, tidak mustahil beliau akan kembali sebagai ketua jurulatih suatu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:17 PM