RIBUAN penyokong Real turut ke jalan meraikan kepulangan pemain  Los Blancos. -Foto AFP
RIBUAN penyokong Real turut ke jalan meraikan kepulangan pemain Los Blancos. -Foto AFP
AFP

RIBUAN penyokong memenuhi jalan raya di ibu kota Sepanyol ini untuk meraikan pemain Real Madrid sebaik mereka kembali ke negara mereka semalam selepas menjulang gelaran Liga Juara-Juara ketiga berturut-turut di Kiev.

Malah kanak-kanak duduk di bahu ibu bapa mereka untuk melihat bas pasukan dengan lebih jelas.

Bas putih gergasi itu dicat dengan tulisan  "Campeones 13" dan logo kelab bagi menandakan kejayaan mereka menjulang Piala Eropah buat kali ke-13.

Kapten pasukan, Sergio Ramos dan rakan sepasukannya melambai dan merakam sambutan penyokong dengan telefon pintar mereka dari atas bas yang diiringi polis berkuda.

Ramos kemudiannya berjalan ke air terjun plaza itu dan membalut patung Cybele dengan skaf dan bendera kelab yang disambut sorakan penonton.

Dia dan bek kiri Real, Marcelo kemudiannya menjulang trofi disambut hujan confetti serta lagu Queen ‘We are the Champions’ kedengaran menerusi pembesar suara.

“Saya perlu berada di sini dan meraikan kemenangan bersama mereka,” kata Ivan Gonzalez, pelajar berusia 23 tahun yang menyarung jersi Cristiano Ronaldo merah jambu dengan skaf dibalut di lehernya ketika ditemui di plaza berkenaan.

Bas itu kemudiannya menuju ke Santiago Bernabeu di mana sambutan dengan bunga api akan diadakan di sana.

Kira-kira 80,000 orang memenuhi stadium itu semalam untuk menyaksikan kemenangan Real ke atas Liverpool 3-1 untuk menjulang gelaran Liga Juara-Juara menerusi lapan skrin gergasi.

Mereka kemudianya bersorak sejurus wisel penamat dengan laungan  "Campeones, campeones".

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:28 AM