Pertahanan Sepanyol dan Real Madrid, Sergio Ramos belum memutuskan masa depannya selepas kelab gergasi Sepanyol mengesahkan pemain legenda itu tidak menyambung kontraknya. FOTO AFP
Pertahanan Sepanyol dan Real Madrid, Sergio Ramos belum memutuskan masa depannya selepas kelab gergasi Sepanyol mengesahkan pemain legenda itu tidak menyambung kontraknya. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Gurauan pemerhati bola sepak yang juga bekas pemain Switzerland, Bruno Berner mengaitkan legenda Real Madrid, Sergio Ramos dengan kelab Malaysia menarik perhatian peminat negara ini.

Menerusi temubual pra perlawanan Euro 2020 antara Itali dan Switzerland dalam rancangan terbitan Stadium Astro pagi tadi, Berner ditanya mengenai hala tuju yang mungkin diambil Ramos selepas Real Madrid sah tidak menyambung khidmatnya musim depan.

Kata Berner, kemungkinan pertahanan terbaik dunia itu bakal berhijrah ke benua lain bagi mencari cabaran baru selepas 16 tahun beraksi buat skuad Los Blancos itu.

"Mungkin mencari cabaran baru di benua yang lain atau negara berbeza, mungkin dia (Ramos) memilih bermain di Malaysia, siapa tahu?.

"Dia sudah meraih pelbagai kejayaan di Eropah dan seorang pemain yang menakjubkan, jadi mungkin dia mahu mencuba sesuatu yang baru," katanya yang menyaksikan klip video program berkenaan tular di laman sosial.

Selain Berner sebagai tetamu jemputan, turut terbabit dalam program itu adalah legenda pertahanan Itali, Alessandro Nesta.

Ramos, 35, mula menyertai Madrid dari Sevilla pada tahun 2005 dan sepanjang tempoh itu dia sudah beraksi sebanyak 671 perlawanan untuk kelab serta menjaringkan 101 gol.

Dia menjadi pemain paling berjaya kelab dengan memenangi lima gelaran La Liga, empat Liga Juara-Juara dan dua Piala Raja Sepanyol.

Pertahanan veteran itu turut cemerlang bersama skuad kebangsaan Sepanyol apabila membantu negaranya menjulang Piala Dunia pada 2010 selain Piala Eropah pada 2008 dan 2012.

Untuk skuad La Roja itu, Ramos merakam 180 perlawanan dengan meledak 23 gol sekali gus menduduki tangga kelapan penjaring terbanyak negaranya.

Difahamkan, Ramos dikaitkan untuk berhijrah ke Liga China namun sehingga kini masih belum ada lagi pengumuman rasmi mengenai hala tujunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 8:07 PM