RANGEL (tengah) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Yusdi Madeonus Mohamad Yunus (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Estrada Sport Agency Mohd Alif Azilan Sari Daut selepas menandatangani kontrak bersama KFA. FOTO Ihsan IHSAN KFA
RANGEL (tengah) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Yusdi Madeonus Mohamad Yunus (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Estrada Sport Agency Mohd Alif Azilan Sari Daut selepas menandatangani kontrak bersama KFA. FOTO Ihsan IHSAN KFA
Izzali Ismail


PENANTIAN Kedah untuk menggunakan khidmat pemain sensasi kelahiran Brazil Paulo Rangel sebagai penyerang utama akhirnya terjawab apabila pemain itu secara sah menandatangai kontrak bersama Kedah, hari ini.

Berita Rangel yang menandatangani kontrak bersama Kedah ini dimuatnaik dalam laman sosial Facebook rasmi milik Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini dan mendapat maklum balas pengurus pasukan Kedah Syed Khairul Anuar Syed Abidin.

Menurut Syed Khairul, walaupun proses akhir mengendalikan urusan pendaftaran untuk mengikat Rangel memakan sedikit masa, tetapi akhirnya KFA mengikat pemain itu, hari ini selepas mendapat pelepasan (ITC) dari kelab yang sebelum ini diwakilinya di Thailand iaitu Nakhon Ratchasima FC.

“Proses seterusnya adalah melakukan pendaftaran untuk membolehkan dia beraksi dalam Liga Malaysia, dan kita mahu pastikan dia akan bersedia beraksi apabila perlawanan seterusnya bertemu Selangor di Stadium Cheras Kuala Lumpur pada 26 Mei nanti ,” katanya.

Pemilihan Rangel 33, yang mempunyai reputasi dan pengalaman luas dalam Liga Malaysia sejak 2013 lalu diyakini mampu mengisi tanggungjawab sebagai penyerang utama menggantikan Pablo Pallares pada tempoh jendela perpindahan yang sedang dibuka kini.

“Rangel memiliki ciri-ciri penyerang sejati yang dicari skuad Lang Merah bagi mengukuhkan jentera serangan hingga ke hujung musim ini.

“Dia bakal bergandingan dengan dua import Kedah iaitu Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi di samping seorang lagi pemain sayap kuota Asean, Andik Vermansyah,” katanya.

Menurut Syed Khairul, berdasarkan pengalaman pernah mewakili beberapa kelab dalam Liga Malaysia sebelum ini, beliau yakin Rangel dapat menjalankan peranan sebagai peledak gol dan membantu pasukan ke tahap yang disasarkan dan seterusnya mencabar kedudukan pada kelompok teratas dalam Liga Super.

 Rangel difahamkan akan menggantikan Pallares dari Sepanyol yang ditamatkan kontrak lebih awal selepas didapati gagal membantu skuad berkenaan.

Rangel pernah beraksi dengan lebih 18 kelab antaranya Muangthong United, Perak, Selangor, Terengganu, Johor Darul Ta'zim, Johor Darul Ta'zim II, Londrina dan sebelum ini Nakhon Ratchasima FC.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 8:57 PM