LOPETEGUI (tengah) setuju sambung kontrak bersama Sepanyol hinggal 2020. -Foto AFP
LOPETEGUI (tengah) setuju sambung kontrak bersama Sepanyol hinggal 2020. -Foto AFP
AFP

JURULATIH Sepanyol Julen Lopetegui menyambung kontraknya sehingga 2020, sekali gus memberi motivasi tambahan buat salah satu pasukan pilihan ke Piala Dunia Russia itu.

“Kami akan menandatangani kontrak tambahan selama dua tahun,” kata presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales.

Ia satu petanda jelas mengenai keyakinan persekutan Sepanyol itu terhadap bekas penjaga gol berusia 51 tahun itu yang kali pertama menyertai kejohanan itu.

“Ia sesuatu yang amat mudah kerana kami mengagumi dan menghormati Julen dan seluruh pasukannya,” kata Rubiales.

“Beliau orang terbaik untuk mengetuai pasukan kebangsaan.”

Kontrak baru itu akan membawa Lopetegui ke Kejuaraan Eropah yang akan diadakan di seluruh benua itu pada 2020.

Pembaharuan kontrak itu hadir sehari selepas Sepanyol mengumumkan senarai 23 pemain ke Piala Dunia.

Lopetegui dilantik selepas aksi hambar Sepanyol pada Euro 2016 di Perancis apabila mereka tersingkir pada peringkat 16 terakhir.

Beliau menggantikan tempat Vicente del Bosque, yang memacu kejayaan Sepanyol pada Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 namun turut berdepan kegagalan pada peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

La Roja cemerlang pada aksi kelayakan Piala Dunia tahun ini dengan sembilan kemenangan dan satu seri daripada 10 perlawanan, menjaringkan 36 gol dan bolos tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 11:55 PM