JURULATIH Sepanyol, Julen Lopetegui (kiri) bersama Andres Iniesta pada sesi latihan di Las Rozas. FOTO AFP
JURULATIH Sepanyol, Julen Lopetegui (kiri) bersama Andres Iniesta pada sesi latihan di Las Rozas. FOTO AFP
Reuters

SEPANYOL mendominasi bola sepak dunia selama empat tahun sebelum tersungkur berikutan prestasi tidak konsisten dalam dua kejohanan utama. 

Begitupun, jurulatihnya Julen Lopetegui berkata, skuad serba barunya bersedia untuk mengembalikan kegemilangan dan sekali lagi mencipta sejarah di Piala Dunia Russia.

Lopetegui, 51, yang juga bekas penjaga gol Rayo Vallecano, Barcelona dan Real Madrid menghabiskan kebanyakan karier pengurusan bersama skuad muda dan membawa Sepanyol memenangi Kejuaraan Eropah bawah 19 dan 21 tahun sebelum dilantik jurulatih kebangsaan pada Ogos 2016.

Pengurus sebelumnya, Vicente del Bosque mengemudi Sepanyol menjuarai Piala Dunia pertama pada 2010 dan Euro dua tahun berikutnya tetapi kejayaan itu gagal diteruskan di Piala Dunia 2014.

Di Brazil, Sepanyol tersingkir awal di peringkat kumpulan sebelum terus dirundung malang apabila ditunjuk jalan keluar oleh Itali pada peringkat 16 terakhir Euro 2016.

“Apabila kamu mengharungi tempoh menyakitkan selepas tersingkir daripada kejohanan, perasaan pertama ialah kesedihan,” kata Lopetegui.

“Tetapi apabila saya tiba perkara itu sudah pun berlalu dan ada keterujaan untuk terus meningkat, untuk melupakan kejohanan itu dan bersedia untuk yang berikutnya.

“Kami menemui pasukan yang mempunyai tenaga hebat di setiap posisi, pasukan yang penuh dengan pemain terbaik. Sekali pun mereka tiba ke kejohanan dan tidak menunjukkan prestasi seperti diharapkan, ia tidak bermakna segala-galanya sudah rosak.

“Sebaliknya, kami menemui pasukan yang hebat dan cuba untuk mencari semula jalan, cuba untuk mempunyai evolusi, mengembangkan semua gaya pemain yang sudah kami miliki.”

Sentiasa memandang tinggi sumbangan Del Bosque, tetapi sebaik bergelar jurulatih, Lopetegui tidak gentar untuk mengubah skuadnya dengan menyingkirkan beberapa nama besar seperti Iker Casillas dan dua pemain Chelsea, Cesc Fabregas dan Pedro.

Hanya empat nama ketika Sepanyol mendominasi bola sepak dunia bermula dengan menjuarai Euro 2008 berjaya tersenarai dalam skuad ke Russia iaitu Pepe Reina, David Silva, Andres Iniesta dan Sergio Ramos.

Sepanyol akan mengharungi perlawanan persahabatan sebelum Piala Dunia dengan menentang Switzerland, Ahad ini di gelanggang sendiri sebelum pergi kem latihan di Russia untuk bertemu Tunisia bagi aksi pemanas badan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 12:02 AM