HAZARD (kanan) jaring gol tunggal perlawanan sekali gus bawa Chelsea bergelar juara Piala FA. -Foto EPA
HAZARD (kanan) jaring gol tunggal perlawanan sekali gus bawa Chelsea bergelar juara Piala FA. -Foto EPA
AFP

JARINGAN penalti Eden Hazard pada babak pertama perlawanan menghadiahkan Chelsea kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Manchester United 1-0 di Wembley, sebentar tadi.

Ia adalah Piala FA kelapan dimenangi Chelsea sekali gus memastikan skuad kendalian Antonio Conte itu mengubat duka gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Gol kemenangan itu berpunca daripada serangan balas apabila Hazard yang membuat larian solo dijatuhkan pertahanan United Phil Jones di dalam kotak penalti untuk pengadil perlawanan Michael Olivier menghadiahkan sepakan itu pada minit ke-22.

Dan Hazard yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir menolak mudah ke sebelah kiri gawang untuk mengelirukan penjaga gol United, David de Gea.

United berjaya memecah kebuntuan tetapi gol yang dijaringkan Alexis Sanchez pada minit ke-62 dibatalkan berikutan ofsaid.

The Blues turut mempunyai peluang terbaik untuk menggandakan jaringan pada minit ke-70 tetapi percubaan situasi satu lawan satu pertahanan kiri, Marcos Alonso tepat ke dakapan De Gea.

Kekalahan itu menyaksikan United yang menamatkan saingan EPL di kedudukan kedua menutup kempen ini tanpa sebarang koleksi piala.

Pertembungan final ini dijangka menjadi penampilan terakhir Conte bersama Chelsea selepas pengendali dari Itali itu difahamkan tidak berpuas hati dengan kegagalan pengurusan kelab menyediakan dana secukupnya untuk berbelanja pada jendela perpindahan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 2:28 AM