CHONG Wei bakal berdepan Momota di separuh akhir kejohanan di Wuhan, hari ini.
CHONG Wei bakal berdepan Momota di separuh akhir kejohanan di Wuhan, hari ini.
Fabian Peter


BEKAS pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei semakin hampir dalam misi merekodkan gelaran ketiga Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir, hari ini. 

Kejayaan itu hadir selepas pemain berusia 36 tahun itu melakar kemenangan mudah ke atas pemain nombor lima dunia, K Srikanth 21-12, 21-15 dalam aksi suku akhir kejohanan di Wuhan, China. 

Chong Wei yang menewaskan lawan sama ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, dua minggu lalu mengakui dia tidak jangka mendapat laluan mudah. 

“Dalam kepala saya, perlawanan menentang Srikanth akan menjadi perlawanan paling sukar saya di sini. Saya tidak jangka boleh menewaskannya dengan mudah. 

“Saya membuat persiapan terbaik untuk perlawanan ini kerana seperti semua tahu saya berdepan tentangan sengit ketika di Sukan Komanwel sebelum berjaya memenangi emas. 

“Kini, saya sudah mara ke separuh akhir, saya akan terus menikmati perlawanan dan kekal fokus,” kata Chong Wei. 

Chong Wei yang juga juara dua kali pada 2006 dan 2016 akan berdepan bekas pemain nombor dua dunia, Kento Momota dari Jepun bagi perebutan tempat ke final, esok.

Bintang muda Jepun itu yang kembali bersaing dalam aksi kompetitif selepas digantung mara selepas menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-5, 21-13 dalam satu lagi aksi suku akhir. 

“Sudah lama saya tidak bermain menentang Momota. Ia adalah sesuatu yang positif apabila dia sudah kembali. 

“Momota adalah pemain mempunyai masa depan cerah. Saya akan buat persiapan terbaik untuk menentang Momota dan diharapkan dapat menunjukkan permainan baik,” kata Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 7:42 PM