CHONG Wei perlu lupakan kekalahan di tangan K Srikanth. FOTO/YAZIT RAZALI
CHONG Wei perlu lupakan kekalahan di tangan K Srikanth. FOTO/YAZIT RAZALI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


BINTANG nombor enam dunia, Datuk Lee Chong Wei perlu berwaspada dan tidak boleh terlalu selesa apabila acara perseorangan badminton lelaki Sukan Komanwel membuka tirainya, esok.

Kekalahan Chong Wei di tangan K Srikanth dalam acara final berpasukan campuran hari ini membayangkan betapa pemain berusia 36 tahun itu perlu beraksi lebih daripada kemampuan dirinya untuk memenuhi sasarannya membolot emas kelima di temasya kedua terbesar dunia itu.

Pilihan kedua itu yang menerima bye di pusingan pertama akan bertemu sama ada pemain Isle, Benjamin Li atau Chongo Mulenga (Zambia) di pusingan kedua, Rabu ini.

Seandainya tidak berdepan masalah melepasi halangan awal, kemungkinan besar dia akan bertemu pemain India, HS Prannoy di separuh akhir.

Sebagai rekod, dia tewas kepada Prannoy dalam dua pertemuan terakhir, kedua-duanya pada tahun lalu.

Chong Wei turut memuji Srikanth selepas menampilkan aksi mengagumkan ketika pemain nombor dua dunia itu menewaskannya 17-21, 14-21.

“Dia bermain dengan agak baik dan begitu sempurna dalam semua aspek. Tidak banyak yang saya boleh lakukan hari ini ketika dia begitu pantas di atas gelanggang,” kata Chong Wei.

“Saya sememangnya berharap untuk memenangi emas dalam acara berpasukan campuran, tetapi tidak mengapa saya masih mempunyai peluang dalam acara perseorangan. Apa yang penting saya perlu belajar daripada kekalahan ini.

“Saya tidak boleh salahkan sesiapapun di atas kekalahan kepada India. Ia usaha berpasukan dan kami perlu bertanggungjawab secara berpasukan di atas kekalahan ini.

“Kami perlu bangkit semula dan melakukan yang terbaik dalam acara individu masing-masing,” kata Chong Wei yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 9:54 PM