Serbegeth Singh

Minggu ini bermula dengan sesuatu yang amat memalukan negara dan bola sepak. Pasukan gagal turun padang dalam perlawanan Liga Perdana. Pemain Kuantan FA enggan beraksi menentang PDRM kerana tunggakan gaji selama tiga bulan.

Anda sedia maklum bola sepak di negara ini dilanda pelbagai masalah. Pasukan kebangsaan gagal meraikan kemenangan pada 2017. Tahun ini kita ‘berjaya’ membelasah Bhutan, baru-baru ini.

Kini pula masalah tunggakan gaji, bukan satu perkara baru dalam bola sepak negara, sekali lagi mencetus persoalan tahap profesionalisme.

Kuantan FA tidak bertindak profesional kerana gagal membayar gaji pemain selama tiga bulan. Sebagai kelab bola sepak profesional, harus menyediakan dana yang mencukupi untuk sara pasukan minimum semusim. Apabila mendapati ada masalah kewangan, harus berbincang dengan persatuan negeri sebelum masalah ini menjadi di luar kawalan.

Kehadiran Kuantan FA dalam liga profesional adalah di bawah naungan persatuan negeri. Adakah pengurusan Kuantan FA meminta bantuan daripada Pahang FA?

Jelas pemain pula tidak bersikap profesional apabila gagal menunaikan syarat kontrak bermain. Adalah salah sekiranya pemain tidak turun padang kerana masih lagi di bawah majikan mereka.

Pemain boleh bertindak melambatkan sepak mula secara protes untuk mengetengahkan masalah yang dilanda kepada pihak tertentu. Mengapa tidak pemain yang terbabit bertindak lebih awal dan menunggu hingga tunggakan gaji sampai tiga bulan?

Mengikut laporan pula, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi bantuan gaji sebulan kepada Kuantan FA. Ini satu kesilapan besar MFL walaupun niat itu baik. Dengan memberi bantuan ini maka MFL hanya sekadar melambatkan yang nyata. Ini menunjukkan MFL tidak tegas dan membuka jalan untuk Kuantan FA mengambil kesempatan.

MFL tidak harus menyingkirkan Kuantan FA daripada Liga Perdana.

Dicadangkan MFL menggantung pihak pengurusan kelab itu. Digantikan dengan pengurusan sementara terdiri daripada ahli FAM. Dengan tindakan ini maka perjalanan liga akan berjalan lancar tanpa gangguan. Pengurusan sementara pula berpeluang untuk berunding semula kontrak pemain dengan meletak syarat berpatutan seperti potongan gaji 10-20 peratus.

MFL terpaksa menanggung Kuantan FA supaya tidak tercemar nama negara. Dengan itu juga, pemain tidak akan menganggur dan akan dapat menyara hidup keluarga mereka hingga akhir musim.

Ramai akan menganggap bantuan ini boleh mencetus berulangnya perkara sebegini terhadap pasukan lain. Tapi, soalan yang lebih penting pula adalah kebolehan negara menguruskan bola sepak profesional. Atau berapa pasukan sahaja yang mampu beraksi sebagai kelab profesional?

Adakah MFL serta FAM sanggup ‘membunuh’ kelab yang mengalami masalah kewangan? Kelab yang diluluskan sendiri untuk beraksi dalam Liga Perdana 2018 oleh MFL serta FAM?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 5:09 AM