NIDZAM ADZHA YUSOFF
NIDZAM ADZHA YUSOFF
Izzali Ismail 


KEDAH terus mengatur langkah memperkemaskan pasukan dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Perlis di Stadium Darul Aman pada  6 April ini. 

Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berkata perlawanan persahabatan yang dijadualkan pada pukul 5 petang itu sebahagian strategi untuk meningkatkan semula prestasi semua pemain termasuk pemain simpanan yang selama ini tidak diturunkan dalam aksi liga Malaysia yang bermula sejak Februari lalu. 

"Ini medan terbaik untuk pemain simpanan memanaskan badan serta membuktikan  kemampuan mereka.

"Kita perlu beri mereka peluang meningkatkan prestasi dan bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama apabila diperlukan, nanti kerana jadual liga masih panjang.

"Saya yakin suasana penuh semangat dan harmoni sewaktu latihan, kini mampu memberi anjakan baru buat pasukan Kedah dalam misi meningkatkan prestasi pasukan yang masih mencari rentak sebenar," katanya. 

Nidzam, yang menggantikan Ramon Morcote juga mengakui Kedah perlukan motivasi untuk bangkit semula mencapai prestasi sebenar seperti musim lalu. 

"Selepas tersingkir dari kancah saingan Piala FA  dan sekadar mencatat dua kemenangan dalam Liga Super, saya mahu setiap pemain fokus untuk bangkit semula dengan penuh semangat untuk mencapai tahap prestasi terbaik Kedah."

"Kita ada tempoh 11 hari lagi sebelum bertemu  pasukan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, dan kita akan gunakan masa ini sebaik mungkin dalam usaha membentuk dan mengembalikan kekuatan pasukan.

"Kita akan beri penekanan terutama di bahagian pertahanan yang menyaksikan kita telah bolos 12 gol dalam lima perlawanan sebelum ini dan ia jumlah yag besar berbanding pasukan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 12:59 PM