CHONG Wei sasar dua emas pada aksi terakhirnya di Komanwel. FOTO/FAIL
CHONG Wei sasar dua emas pada aksi terakhirnya di Komanwel. FOTO/FAIL
Fabian Peter


BEKAS pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei meletakkan sasaran untuk meraih dua emas, sekali gus menjadi atlet terbaik negara dalam sejarah Sukan Komanwel.

Pemain berusia 36 tahun itu yang dijangka membuat penampilan terakhir di temasya berkenaan bulan depan di Gold Coast, Australia, setakat ini sudah pernah memenangi empat emas.

Bekas rakan sepasukannya, Koo Kien Keat, masih lagi memegang kedudukan teratas dengan dengan meraih lima emas, apabila memenangi pada edisi 2006 di Melbourne (beregu lelaki dan berpasukan campuran) dan tiga lagi pada 2010 di New Delhi, India.

Bulan lalu, Chong Wei juga menyatakan hasrat untuk muncul juara Seluruh England seterusnya mencatat rekod lima kejuaraan.

 Ketika dihubungi hari ini, sehari sebelum tayangan perdana filemnya yang bertajuk Lee Chong Wei: Rise of the Legeng, Chong Wei berkata, rekod seperti itu membuatkan dia bersemangat untuk terus berusaha keras.

"Saya mampu untuk mencipta rekod ini di temasya empat tahun lalu di Glasgow tapi saya tidak mengambil bahagian ketika itu. Ia memang bukan mudah namun ini akan menjadi sejarah sebagai atlet terbaik Malaysia di Sukan Komanwel.

"Bagaimanapun, sasaran seperti ini akan sentiasa mengingatkan saya penat lelah yang sudah saya lalui bertahun lamanya. Apa yang menggembirakan dalam latihan, kesukaran. Saya berharap mampu menggapainya," kata Chong Wei.

Pada 2014, Chong Wei terpaksa menarik diri dari menyertai temasya berkenaan, selepas mengalami kecederaan paha ketika dalam latihan.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu sebelum ini sudah meraih dua emas pada penampilan pertamanya di Melbourne (2006) dan mengulangi pencapaian sama empat tahun kemudian.

Atlet lain yang sudah meraih empat emas di Sukan Komanwel selain Chong Wei adalah bekas pemain beregu wanita, Chin Eei Hui dan bekas atlet angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim.

Pada temasya yang berlangsung pada 4 hingga15 April ini, Malaysia akan mempertaruhkan Chong Wei selain gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; Chan Peng Soon, Goh Soon Huat, Goh Jin Wei, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan, Goh Liu Ying dan Shevon Lai Jemie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:01 PM