MARCOTE (tengah) direhatkan KFA walau hanya lima aksi kemudi pasukan. -Foto fail
MARCOTE (tengah) direhatkan KFA walau hanya lima aksi kemudi pasukan. -Foto fail
Mohd Fitrie Muhamad


KEPUTUSAN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) ‘merehatkan’ Ramon Marcote menimbulkan banyak persoalan di kalangan peminat skuad Helang Merah yang mahu persatuan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku di dalam pasukan.

Sebagai penyokong yang sentiasa berdiri di belakang skuad Helang Merah, mereka mahu tahu apa pertimbangan yang diambil oleh KFA ketika membuat keputusan mengenepikan ketua jurulatih berkenaan.

Ini kerana tindakan itu dilihat tidak adil buat pengendali berkenaan selepas hanya mengemudi pasukan untuk lima perlawanan saja sepanjang musim ini.

Pengerusi Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), Wan Syazwan Wan Fadzelah menegaskan, tindakan itu tidak adil buat Marcote kerana jurulatih berkenaan hadir ke Kedah ketika aksi Liga Malaysia (Liga M) hampir membuka tirai.

“Kalau pengurusan ‘bedah siasat’, penyokong juga mahu tahu apa hasilnya. Adakah KFA mendapati kelemahan itu berpunca daripada Marcote sendiri atau pun pemain sehingga menghadkan perancangan yang mahu diatur oleh barisan kejurulatihan.

“Bagi kami, berilah ruang untuk Marcote buat perubahan pada jendela perpindahan kedua. Sebelum ini, pernah berlaku kes yang hampir sama sehinggalah Kedah menandatangani Thiago Augusto Fernandes dan Shane Smeltz. Selepas kehadiran mereka, prestasi pasukan makin baik.

“Sebab itulah, kali ini kami juga berharap Marcote diberi peluang. Berilah ruang kepada Marcote membaiki prestasi pasukan dan pilih pemain yang dia mahukan,” katanya.

Wan Syazwan berkata, berdasarkan apa yang berlaku ketika ini, ia seolah-olah seperti disengajakan dan seperti ada ‘tangan ghaib’ yang mahu menyingkirkan Marcote.

Namun, bagi Marcote sendiri, beliau tetap menghormati keputusan KFA dan pada masa sama mengharapkan Kedah mampu menjulang piala seperti disasarkan..

“Seperti yang semua tahu, pengurusan Kedah FA ambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat saya selaku ketua jurulatih. Saya hormati keputusan yang dibuat KFA.

“Saya harap Kedah dapat memenangi piala tahun ini. Dalam beberapa hari ini, saya akan membuat keputusan mengenai masa depan saya. Apa juga keputusan, saya tetap rasakan Kedah sebagai ‘rumah’ sendiri,” kata Marcote menerusi laman sosial Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 7:28 PM