HAMIDIN (kanan) dilihat sebagai calon paling sesuai pegang jawatan Presiden FAM. -Foto fail
HAMIDIN (kanan) dilihat sebagai calon paling sesuai pegang jawatan Presiden FAM. -Foto fail
Zulfaizan Mansor


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai individu paling layak untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas beliau melepaskan ‘kerusi panas’ itu. 

Perkara itu disuarakan TMJ dalam satu kenyataan di Facebook rasmi FAM, hari ini berdasarkan pengalaman yang cukup luas dimiliki Hamidin yang juga setiusaha agung badan induk itu selepas sekian lama berkhidmat untuk bola sepak tanah air.

“Jika kita lihat FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga, presiden datang dalam kalangan setiausaha agung kerana mereka amat memahami sistem pentadbiran bola sepak.

“Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Datuk Hamidin dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Jika Datuk Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM oleh ahli gabungan, saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau dan memastikan pendapatan FAM terjamin. Saya berharap semua ahli gabungan akan menyokong Datuk Hamidin sebagai Presiden FAM,” kata Tunku Ismail.

Ketika ini, kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara itu kosong selepas TMJ secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan daripada TMJ.

Untuk rekod, Hamidin mula dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 2013 menggantikan Datuk Seri Azzuddin Ahmad, ketika di bawah pimpinan Sultan Ahmad Shah.

Menerusi kenyataan sama, TMJ yang dilantik Pengerusi MFL turut mencadangkan nama Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM.

“Setelah peletakan jawatan saya sebagai presiden, saya syorkan Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga kongres ke-64 FAM pada 14 Julai 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 6:44 PM