OOI TZE LIANG
OOI TZE LIANG
Jumiati Rosly


BIARPUN pernah menghadiahkan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow, penerjun negara Ooi Tze Liang tidak mahu bercakap mengenai sejarah lalu dan menganggap dirinya sebagai orang baru apabila bersaing pada temasya kali ini di Gold Coast.

Penerjun dari Pulau Pinang itu bagaimanapun berkata, dia berasa teruja dan lebih tenang bagi penyertaan ketiganya pada temasya empat tahun sekali itu.

“Perkara itu (memenangi pingat emas) sudah empat tahun berlalu dan ia sudah menjadi sejarah jadi saya tak mahu membandingkannya dengan masa kini.

“Bagi saya ini semua benda baru dan saya perlu pandang ke depan tanpa perlu berfikir perkara lepas. Saya sama juga seperti atlet baru,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Gold Coast lewat malam tadi.

Menjadi penerjun tunggal negara yang menghadiahkan pingat emas di Glasgow empat tahun lalu, Tze Liang akan menyertai tiga acara pada temasya kali ini iaitu 1m papan anjal lelaki, 3m papan anjal lelaki dan 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan dengan Chew Yiwei.

“Saya sudah melakukan latihan dan persiapan yang secukupnya. Apa yang kita tak boleh kawal, biar Tuhan yang lakukan dan apa yang boleh saya kawal, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Mengenai tekanan untuk menghadiahkan pingat emas, Tze Liang berkata, tekanan pasti ada namun dia menukar tekanan yang ada itu untuk dirinya melakukan persembahan lebih baik.

Tze Liang, 24, menghadiahkan pingat emas acara 3m papan anjal lelaki dan satu perak acara 10m platform lelaki di Glasgow 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 8:02 PM