BEKAS pemain negara, Datuk Shukor Salleh.
BEKAS pemain negara, Datuk Shukor Salleh.
Rodly Fadly


JURULATIH skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak perlu mengikut telunjuk penyokong, sebaliknya mesti mempunyai pendirian untuk membentuk pasukan mengikut acuannya sendiri.

Bekas pemain negara, Datuk Shukor Salleh berkata, kegagalan mencapai kemenangan ke atas Mongolia dalam aksi persahabatan kelmarin, adalah cabaran awal sebagai jurulatih dan Cheng Hoe tidak seharusnya cepat melatah selepas dikritik penyokong.

Malah, Shukor mempertikaikan kewajaran jurulatih Harimau Malaya itu menggugurkan kesemua 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada skuad negara hanya semata-mata mahu memuaskan hati penyokong.

“Buat apa beliau layan penyokong, sepatutnya beliau pekakkan saja telinga bila dikritik. Sebagai jurulatih, Cheng Hoe perlu ada pendirian, bukannya menari mengikut rentak penyokong atau tunduk kepada kehendak mereka.

“Ini kerana apapun yang berlaku ke atas skuad negara sekarang adalah tanggungjawab beliau. Tugas beliau bukan untuk memuaskan hati penyokong tapi meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Sepatutnya, jika Cheng Hoe rasakan 14 pemain JDT memang layak, beliau perlu kekalkan mereka walau apapun orang kata kerana penyokong hanya pandai mengkritik.

“Tapi, kalau awal-awal lagi beliau gagal menangani tekanan sebegini, bagaimana beliau mahu menjalankan tugasnya dengan berkesan,?” kata Shukor.

Semalam, Cheng Hoe membuat keputusan mengejut apabila menggugurkan 14 pemain JDT yang dipanggil untuk aksi persahabatan menentang Mongolia dengan alasan mahu memenuhi kehendak peminat.

Tindakan drastik itu diambil selepas beliau menerima kritikan hebat penyokong apabila Harimau Malaya yang dibarisi sembilan pemain JDT hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dengan Mongolia.

Susulan itu, Cheng Hoe memanggil sembilan pemain - Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri (PKNP FC), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS FC), R Kogileswaran (Pahang), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah).

Malaysia bakal menghadapi Lubnan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia di Beirut, Selasa ini disusuli aksi persahabatan menentang Nepal, 1 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 10:40 AM