AKSI Ronaldo ketika menentang Mesir, awal pagi tadi. - FOTO REUTERS
AKSI Ronaldo ketika menentang Mesir, awal pagi tadi. - FOTO REUTERS
AFP

ZURICH: Cristiano Ronaldo meledak dua gol dalam masa kecederaan ketika juara Eropah, Portugal menewaskan Mesir 2-1 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi - sekali gus memenangi pertarungan peribadi dengan Mohamed Salah yang meletakkan juara Afrika tujuh kali itu di depan.

Ronaldo, yang tampil untuk perlawanan ke-900 kariernya, menunjukkan kehebatan sebenarnya ketika Mesir hampir menamatkan aksi dengan kemenangan hasil gol minit ke-56 Salah.

Gol penyamaan hadir pada minit ke-92 menerusi tandukan selepas Ricardo Quaresma membuat hantaran lintang, dan selang dua minit Ronaldo meledak gol kemenangan dengan situasi hampir sama.

Bagaimanapun pemain 33 tahun Real Madrid itu perlu menunggu keputusan daripada sistem VAR untuk mengesahkan jaringannya kerana dia disyaki berada dalam kedudukan ofsaid. Dua gol berkenaan melebarkan jaringannya untuk Portugal kepada 81 gol.

Salah, yang cemerlang bersama Liverpool musim ini dengan 28 gol Liga Perdana Inggeris, memecah kebuntuan di awal babak kedua dengan permainan satu dua bersama Abdallah El Said sebelum menewaskan Beto di gawang Portugal.

“Pada minit-minit terakhir kami lebih baik, mencipta empat peluang dan menunjukkan keazaman untuk mengubah keadaan,” kata pengendali Portugal Fernando Santos.

Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d’Or, kini melonjak ke tangga ketiga dalam senarai penjaring gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman.

Legenda Hungary Ferenc Puskas meledak 84 gol manakala Ali Daei dari Iran mendahului senarai dengan 109 gol dalam 149 penampilan antarabangsa.

Mesir, yang kembali menyertai pusingan akhir Piala Dunia selepas kali terakhir pada tahun 1990, akan bersaing dalam Kumpulan A menentang tuan rumah Russia, Uruguay dan Arab Saudi.

Portugal dalam Kumpulan bersama Sepanyol, Maghribi dan Iran. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 7:31 AM