PEMAIN Harimau Malaya, Natxo Insa (kiri) diasak pemain Mongolia, Davaajav Battur. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMAIN Harimau Malaya, Natxo Insa (kiri) diasak pemain Mongolia, Davaajav Battur. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aziman Rosdi

BUKIT JALIL: Apa lagi yang tak kena dengan skuad Harimau Malaya?

Itu persoalan yang timbul selepas menyaksikan mereka memulakan langkah bagi saingan tahun ini dengan keputusan mengecewakan, seri dengan pasukan dibarisi ramai pemain separuh profesional, Mongolia 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebentar tadi.

Dengan kehadiran jurulatih baru Tan Cheng Hoe serta gabungan pemain muda dan senior, skuad kebangsaan yang berada di ranking ke-178 dunia manakala Mongolia (189) bergelut mencari kemenangan pertama sejak menewaskan Kemboja 3-2 pada November 2016 di saingan Piala AFF.

Ia ujian pertama buat Cheng Hoe apabila beliau sebelum ini menjadi penolong kepada Nelo Vingada yang meletakkan jawatan tahun lalu susulan prestasi buruk tanpa sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya tahun lalu.

Penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Haziq Nadzli dan pemain kacukan kelahiran Sepanyol Natxo Insa berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama manakala agak mengejutkan apabila pemain pertahanan Le’Vere Corbin-Ong tiada dalam senarai pemain.

Skuad Harimau Malaya yang kali terakhir beraksi di SNBJ pada 16 Jun 2015 ketika tewas kepada Palestin 0-6 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018, lebih mendominasi permainan pada babak pertama.

Bagaimanapun mereka buntu apabila percubaan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-15 dan tandukan Mahali Jasuli (m-30) diselamatkan penjaga gol pelawat Munkh-Erdene Enkhtaivan.

Jaringan yang dinantikan pasukan tuan rumah akhirnya terhasil pada minit ke-31 selepas kapten Mongolia, Turbat Daginaa tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola sepakan sudut Safawi Rasid.

Bagaimanapun keceriaan 10,200 penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Michael Weiss menyamakan kedudukan 1-1 hasil lambungan cantik Enkhibileg Purevdorj menewaskan Haziq pada minit ke-42.

Kemasukan pemain paling muda berusia 19 tahun Akhyar Rashid sedikit mengubah nasib pasukan kebangsaan apabila meledak gol menerusi rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-65.

Namun pemain tengah, Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv menjaringkan gol penyamaan 2-2 di minit ke-71.

Selepas ini Harimau Malaya akan bertandang ke Beirut bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan Selasa depan sebelum berdepan Nepal bagi aksi persahabatan antarabangsa di SNBJ pada 1 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 11:07 PM