BEKAS pengarah teknikal BAM, Morten Frost Hensen kini aktif menjadi pengulas sukan badminton. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BEKAS pengarah teknikal BAM, Morten Frost Hensen kini aktif menjadi pengulas sukan badminton. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Fabian Peter

 

BEKAS pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen masih lagi bergiat aktif dalam badminton apabila kembali menjadi pengulas bagi sukan berkenaan.

Dia yang meninggalkan badan induk berkenaan tahun lalu mengakui masih belum terfikir untuk bersara daripada sukan badminton dalam tempoh terdekat.

"Saya tidak percaya mengenai persaraan. Saya lebih gemar untuk kekal aktif dalam sukan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Legenda perseorangan lelaki Denmark berusia 60 tahun itu mengakui sudah mengambil cuti dalam tempoh yang dikehendaki dan sekarang ini kembali bertenaga.

"Saya sekarang ini mempunyai kontrak bersama Infront, iaitu syarikat yang bertanggungjawab untuk penyiaran sukan badminton seluruh dunia.

"Saya sudah lama memikirkan untuk kembali dalam bidang ulasan dan ia sangat sesuai dengan saya. Tugas pertama saya adalah di Birmingham sebelum berkunjung ke New Zealand atau Australia, seterusnya ke saingan Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand," katanya yang bergandingan di Seluruh England bersama pengulas tetap serta bekas pemain badminton, Gillian Clark.

Sebelum ini Frost pernah membabitkan diri seketika dalam bidang penyiaran sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk menjawat jawatan pengarah teknikal pada tahun 2015. 

Selepas prestasi kurang memberangsangkan dan pelbagai isu dalaman, Frost mengambil keputusan meninggalkan BAM September lalu.

Antara sumbangan yang berjaya dicurahkannya kepada skuad negara termasuk mencatat rekod terbaik badminton di Olimpik apabila Malaysia membawa pulang tiga perak menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 9:16 PM