MORTEN FROST HANSEN
MORTEN FROST HANSEN
Fabian Peter


LEGENDA Denmark, Morten Frost Hansen mungkin sudah tiada kepentingan lagi dengan badminton Malaysia tetapi bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Ketika dihubungi di Denmark bagi mengulas mengenai siasatan yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ke atas dua pemain profesional negara yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan, bekas pemain dan jurulatih itu berkata: “Dua perkataan - memalukan dan menyedihkan.

“Sebagai pemain saya ada mendengar mengenai perkara ini tetapi tidak pernah ditawarkan. Ia kegiatan yang menjadi tular disebabkan kewujudan syarikat pertaruhan yang semakin banyak di peringkat global,” kata Frost.

Minggu lalu, dalam satu laporan eksklusif Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain profesional Malaysia sedang disiasat BWF atas dakwaan mengatur perlawanan.

BAM kemudian mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan oleh BWF.

Kedua-dua pemain terbabit akan menghadiri sesi pendengaran yang akan dijalankan BWF di Singapura, Isnin dan Selasa ini.

Ditanya apakah keputusan yang diharapkannya daripada sesi pendengaran itu, Frost berkata: “Hukuman yang paling berat (gantung seumur hidup). Saya lebih rela BWF menjatuhkan hukuman yang berat untuk kes pertama berbanding mereka mahu memberi peluang kedua kepada pemain terbabit.”

Frost yang juga juara Seluruh England empat kali menggantung raketnya sebagai pemain pada 1991.

Dia mula berkhidmat bersama BAM pada lewat tahun 1990-an apabila menyertai badan induk itu sebagai pengarah prestasi tinggi.

Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia dua kali itu kemudiannya kembali ke Kuala Lumpur pada 2015 dengan jawatan sama. Frost bagaimanapun membuat keputusan meletak jawatan pada September tahun lalu atas alasan masalah peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 8:22 PM