ADAM (kiri) dan Sasaki berlepas ke Jerez bagi ujian rasmi. FOTO/ ADAM NORRODIN
ADAM (kiri) dan Sasaki berlepas ke Jerez bagi ujian rasmi. FOTO/ ADAM NORRODIN
Sukhairi Thani


PASUKAN PETRONAS Sprinta Racing sudah melakukan persiapan terakhir sebelum musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 membuka tirainya di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 16 hingga 18 Mac ini.

Pasukan Moto3 yang disertai Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki itu dijadual berlepas ke Jerez, Sepanyol untuk ujian rasmi pada Selasa hingga Khamis ini.

“Ini adalah ujian IRTA terakhir sebelum perlumbaan pertama di Qatar,” kata Adam.

“Saya tidak sabar untuk kembali berada di litar dan melihat sejauh mana kemampuan kami di Jerez. Ujian terakhir kami di Sepang adalah sangat positif. Kami berjaya melakukan beberapa pusingan dan menemui pelarasan yang baik untuk jentera.

“Jadi, tumpuan saya ketika ini adalah lebih kepada diri sendiri. Di Jerez, saya mahu memberi tumpuan kepada catatan masa sepusingan dan cuba berada di puncak kedudukan.

“Adalah amat penting bagi saya menggunakan ujian terakhir ini untuk mengekalkan rentak dan bersedia secara mental bagi perlumbaan pertama nanti.”

Adam yang memasuki tahun ketiganya di kancah Moto3 diberi sasaran untuk menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik keseluruhan.

Musim 2018 juga menjadi amat penting buat kedua-dua pelumba ini, apatah lagi prestasi mereka juga akan dinilai bagi mengisi slot di kelas perlumbaan pertengahan, Moto2 pada 2019 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 8:56 PM