Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Sesi ujian pramusim selama empat hari berakhir kelmarin di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) belum cukup untuk memberi impak besar kepada pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin bersama pasukannya, SIC Racing Team.

Jelas Adam, masih banyak yang perlu dilakukannya serta pasukan terutama pada ujian pramusim rasmi di Jerez, Sepanyol dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

“Kami berpeluang untuk meraih keputusan lebih baik dan terus bekerja keras bagi mendapatkan pakej yang terbaik pada sesi ujian itu.

“Kesemua pelumba Moto3 akan turut menyertai sesi di Jerez. Jadi, kami bakal memperoleh gambaran sebenar di mana kedudukan kami berbanding pesaing lain.

“Kami perlu bekerja keras dan terus mempelajari segala perkara baru. Lebih banyak kami melakukan persediaan, pasti kami juga lebih kompetitif di musim baru nanti,” katanya.

Mengulas lebih lanjut sesi ujian jentera yang berakhir semalam bersama rakan sepasukan, Ayumu Sasaki, Adam berkata, secara keseluruhan dia serta pasukan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Jentera baru ini sangat bagus dan kami menemui pelarasan yang diinginkan. Secara keseluruhannya, ia adalah sesi ujian yang cukup positif.

“Tapi sudah tentu kami perlu lebih bekerja keras sebelum bermulanya perlumbaan pertama di Qatar.

Secara jujur, saya cukup bermovitasi tinggi pada musim baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:42 AM