ZULFAHMI mengharapkan dapat meraih keputusan yang bagus.
ZULFAHMI mengharapkan dapat meraih keputusan yang bagus.
Sukhairi Thani


ZULFAHMI Khairuddin bakal memulakan perlumbaan Pusingan ke-12 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2017 di Litar Jerez, Sepanyol dari petak ke-22 hari ini selepas mengalami ‘nasib malang’ dalam sesi Superpole, semalam.

Pelumba Orelac Racing VerdNatura itu memulakan saingan awal Superpole 1 dengan baik sebelum pertukaran tayar pada sesi sama selepas itu jelas mengganggu momentumnya untuk mencari catatan masa sepusingan yang lebih positif.

“Pada waktu pagi, saya jelas selesa dengan motosikal dan mampu untuk cuba mencatat masa lebih baik di setiap pusingan,” kata Zulfahmi. Saya gembira dan cuba mencari tempat untuk ke Superpole (2).

“Sebahagian daripada Superpole (1) adalah bagus dan saya dapat merasakan persaingannya. Namun apabila kami menukar set tayar baru semuanya berubah sama sekali. Motosikal lebih menyasar dan saya tidak boleh terlalu memecut, jadi saya tidak mampu memperbaiki catatan masa sepusingan.

“Kedudukan grid (sesi perlumbaan) tidaklah terlalu bagus tetapi sekiranya saya mampu mendapatkan keselesaan sama seperti awal saingan (Superpole), saya mungkin boleh bersaing dengan baik nanti.

“Pasukan kami berpangkalan di Sepanyol, jadi adalah baik sekiranya kami dapat meraih keputusan yang bagus di sini esok (hari ini).”

Bekas pelumba Moto3 dunia itu mencatat masa sepusingan 1 minit 44.801 saat untuk memulakan perlumbaan dari petak ke-22 tatkala Federico Caricasulo dari Itali bakal memulakan saingan dari grid pertama.

Pusingan terakhir musim 2017 dijadual berlangsung di Qatar pada 4 November ini manakala Zulfahmi setakat ini hanya mengumpul enam mata untuk berada di tangga ke-34 keseluruhan dalam kelas Supersport.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 1:09 PM