ADAM tetap positif walaupun cuaca buruk di Perez menggangu ujiannya.
ADAM tetap positif walaupun cuaca buruk di Perez menggangu ujiannya.
Sukhairi Thani

TIDAK ada apa mampu dilakukan Adam Norrodin pada ujian rasmi terakhir Moto3 di Litar de Jerez, namun pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu percaya dirinya sudah bersedia mengharungi pusingan pertama musim 2018 di Grand Prix Qatar pada 16 hingga 18 Mac ini.

Bagi Adam, faktor cuaca mengehadkan dirinya untuk melakukan lebih pusingan pada ujian selama tiga hari itu tatkala pasukannya mampu memanfaatkan cuaca baik pada hari kedua semalam.

“Untuk ujian di Jerez, bagi saya ia tidak begitu bagus kerana cuaca kurang baik,” kata Adam.

“Pada hari pertama, hujan begitu juga pada sesi petangnya. Pada hari kedua, secara keseluruhannya kering dan kami dapat melakukan banyak ujian. Apapun sasaran saya untuk melakukan catatan masa sepusingan (yang lebih baik) tidak tercapai dan saya tidak gembira.

“Namun, saya tahu jentera berada dalam keadaan yang baik dan pada ketika ini, saya yakin untuk ke Qatar biarpun hari ini kami tidak boleh melakukan apa-apa kerana cuaca.

“Ujian yang tidak begitu menyeronokkan tetapi kami temui apa yang diperlukan di hari kedua (ujian). Jadi bagi saya, saya perlu kekal fokus untuk hari pertama di Qatar.”

Daripada empat sesi disertai Adam selama tiga hari ujian yang berakhir hari ini, catatan sepusingan terbaiknya adalah 1 minit 47.639 saat, satu peningkatan daripada 1:50.042s dilakukannya pada hari pertama ujian, Selasa lalu.

Musim 2018 dijadual membuka tirainya di GP Qatar pada 16 hingga 18 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 9:48 PM