KHAIRUL mengharapkan keajaiban di sirkit Jerez. FOTO/ Khairul Idham Pawi
KHAIRUL mengharapkan keajaiban di sirkit Jerez. FOTO/ Khairul Idham Pawi
Sukhairi Thani


SIRKIT Jerez di Sepanyol bakal menjadi pembuka tirai bagi fasa Kejuaraan Motosikal Dunia di benua Eropah 6 Mei ini dan pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengharapkan permulaan baharu untuknya musim ini.

Selepas tiga pusingan di GP Qatar, Argentina dan terbaru di Amerika Syarikat awal pagi tadi, pelumba IDEMITSU Honda Team Asia itu menamatkan saingan masing-masing di tangga ke-23, 24 dan 25 - satu prestasi yang hampir konsisten dengan pencapaiannya tahun lalu.

Walaupun tidak menamatkan perlumbaan di GP Espana tahun lalu, Khairul Idham atau dikenali SuperKIP enggan menoleh ke belakang, sebaliknya mahu mencari peningkatan di litar Jerez, kali ini.

"Untuk perlumbaan seterusnya, Jerez antara trek kegemaran saya," kata Khairul Idham. "Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang bagus."

Khairul Idham menamatkan perlumbaan di Circuit Of The America (COTA) di tangga ke-25 dengan catatan 40 minit 16.982 saat (s), ketinggalan 46.966s di belakang pemenang dari pasukan SKY Racing Team VR46, Francesco Bagnaia.

"Dalam perlumbaan, saya rasa motosikal 'berat', sukar untuk mengubah arah dengan pantas dan berada di laluan sepatutnya," kata Khairul Idham yang pernah muncul juara di GP Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada 2016.

"Kami dapat memperbaiki (masalah) pergerakan di bahagian belakang secara sedikit demi sedikit tetapi ia masih belum sempurna sepenuhnya lagi."

Bermula di Jerez, sembilan pusingan musim selepas itu dijadual berlangsung di bumi Eropah sebelum memasuki rantau Asia.

Sirkit Antarabangsa Buriram, Thailand dijadual menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-15 buat kali pertama pada 7 Oktober depan sekali gus membuka persaingan di peringkat Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 8:57 PM