Zulfaizan Mansor


NASIB 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga M) akan ditentukan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru, esok.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menjelaskan bentuk hukuman sama ada dipotong mata atau dikenakan hukuman lebih ringan akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan yang bakal dipengerusikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Tarikh mesyuarat sudah ada iaitu pada Isnin (esok).

“Ya, kami akan bawa kes itu (pasukan gagal melengkapkan pendaftaran) untuk dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti.

“Keputusan (bentuk hukuman) juga akan diputuskan pada mesyuarat yang akan dipengerusikan Tunku Ismail selaku Pengerusi FMLLP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super dan enam dari Liga Perdana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan selepas tarikh akhir menghantar dokumen pada 3 Februari.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen tidak betul manakala Selangor dan PKNS FC menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang diberikan.

Bagi Liga Perdana pula, empat pasukan tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

Sementara itu, dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang ditetapkan termasuk MIFA dan UKM FC yang menghantar dokumen pada 15 dan 19 Februari.

Malah, FMLLP menjelaskan tarikh akhir untuk pasukan menghantar dokumen pada 3 Februari adalah tarikh yang sudah dilanjutkan sebanyak dua kali bagi memberi ruang kepada pasukan terbabit melengkapkan dokumen yang perlukan.

Justeru, pasukan itu berkemungkinan berdepan hukuman berat termasuk dipotong mata seperti yang dikenakan ke atas empat pasukan musim lalu.

Untuk rekod, dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan T-Team serta dua dari Liga Perdana, ATM dan Perlis dipotong enam mata kerana kesalahan sama musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 4:49 PM