AKHYAR (kanan) tidak dapat beraksi perlawanan Piala FA kerana cedera. FOTO/FAIL
AKHYAR (kanan) tidak dapat beraksi perlawanan Piala FA kerana cedera. FOTO/FAIL
Izzali Ismail

PENGENDALI Kedah, Ramon Marcote terpaksa membuat perhitungan baru untuk aksi menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala FA, Jumaat ini apabila penyerang utama, Pablo Pallares tidak dapat beraksi akibat kecederaan kaki.

Marcote berkata, walaupun keadaan Pallares belum dapat disahkan sepenuhnya dalam pertembungan perlawanan ‘kalah mati’ itu, beliau tetap membuat pelan B demi memastikan jentera serangan Kedah terus tajam.

“Seorang lagi pemain yang turut mengalami kecederaan ialah pemain sayap, Akhyar Rashid yang kemungkinan tidak dapat beraksi.

“Pada sesi latihan semalam, kita membuat beberapa persiapan termasuk pengganti bahagian penyerang dan sayap untuk menghadapi sebarang kemungkinan seandainya mereka tidak dapat beraksi.

“Saya yakin kita mempunyai pilihan pemain yang dapat memberi impak terbaik di bahagian serangan antaranya Zafuan Azeman, Farhan Roslan, Andik Veemansyah, Sandro Da Silva dan lain-lain.

“Pablo yang berjaya mengejutkan peminat dengan sentuhan gol pertama Kedah sewaktu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 3 Februari lalu diharap menjadi peledak utama skuad Lang Merah musim ini.

“Pastinya kita mempunyai perancangan lebih rapi berbanding sebelum ini, terutama selepas menempa kemenangan pada perlawanan Liga Super menentang PKNS FC Ahad lalu.

“Tahap keyakinan semua pemain kini semakin meningkat dan ia menjadi pendorong untuk kita buru kemenangan ke atas Negeri Sembilan di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Piala Malaysia 2016 berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Paroi dan Kedah menang 5-0 di Stadium Darul Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:23 AM