PEMAIN Kedah gigih berlatih bagi menghadapi aksi menentang KL.
PEMAIN Kedah gigih berlatih bagi menghadapi aksi menentang KL.
Izzali Ismail


KEDAH kini berlawan masa dengan berharap penyerang utamanya, Pablo Pallares mampu pulih menjelang kunjungan ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ketua jurulatihnya, Ramon Marcote, berkata tinggal dua hari lagi untuk memastikan penyerang itu benar-benar pulih sekali gus membolehkan beliau membariskan barisan terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Kita masih mempunyai dua hari lagi bukan saja untuk memastikan Pallares tetapi juga pemain sayap, Akhyar Rashid kembali pulih sepenuhnya. Saya mengakui kita memerlukan khidmat kedua-dua pemain itu,” katanya.

Kedua-dua tonggak berkenaan tidak beraksi ketika Kedah diheret ke masa tambahan sebelum menewaskan Negeri Sembilan pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tidak sukar mengapa Marcote begitu memerlukan kedua-dua pemain itu, apatah lagi, status Kuala Lumpur selaku pasukan tercorot Liga Super tidak boleh dipandang mudah.

“Walaupun berada di dasar liga, jangan pandang mudah kemampuan Kuala Lumpur. Adakah kamu lupa Kuala Lumpur pernah menjinakkan Johor Darul Ta’zim? Jadi, saya tidak mahu mengambil risiko, sebaliknya akan membariskan barisan terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Lagipun, saya tidak mahu kalah dalam perlawanan ini kerana ia boleh menyebabkan jurang mata dengan kelompok pasukan teratas bertambah besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 8:57 PM