PERSATUAN Bolasepak Sabah mengesan penggunaan tiket palsu pada aksi Sabah dan Sarawak, Sabtu lalu. - Foto MALAI ROSMAH TUAH
PERSATUAN Bolasepak Sabah mengesan penggunaan tiket palsu pada aksi Sabah dan Sarawak, Sabtu lalu. - Foto MALAI ROSMAH TUAH
Ryan Stanley


PERSATUAN Bolasepak Sabah (SAFA) mengesan penggunaan tiket palsu ketika aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Sabtu lalu.

Difahamkan, ia dikesan dalam perlawanan antara Sabah dan Sarawak dengan lelaki yang cuba masuk ke dalam stadium menggunakan tiket palsu, berjaya ditahan.

Sumber berkata, tiket yang digunakan individu terbabit hampir sama dengan yang asli namun cop Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang ada pada tiket berkenaan berbeza berbanding tiket asal.

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar dan sebarang makluman akan dikeluarkan selepas itu.

Pada perlawanan Sabtu lalu, hampir 10,000 penyokong membanjiri Stadium Likas dan ia adalah kehadiran paling ramai dicatatkan setakat ini.

Jumlah itu dijangka meningkat pada aksi pusingan kedua Piala FA apabila Sabah bertemu Johor Darul Ta'zim, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 6:53 PM