SKUAD Tambadau juara Liga Perdana 2019. - FOTO Hairul Anuar Rahim
SKUAD Tambadau juara Liga Perdana 2019. - FOTO Hairul Anuar Rahim
Ryan Stanley

PERSATUAN Bolasepak Sabah (SAFA) hari ini menafikan tiket percuma akan diberikan kepada orang ramai bagi menyaksikan perlawanan antara Sabah dengan Kelantan di Stadium Likas, malam esok.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung SAFA, Andrew Majanggim yang menjelaskan kenyataan palsu itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan yang tular di media sosial itu hari ini, kononnya tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan berkenaan akan diberikan sempena meraikan kejuaraan skuad Tambadau dalam saingan Liga Perdana.

"Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu dijual dengan harga seperti biasa iaitu RM25 bagi tempat duduk di kawasan berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk kawasan terbuka. Tiket akan dijual di kaunter tiket Stadium Likas bermula jam 8 pagi esok," katanya.

Sementara itu, katanya selepas tamat perlawanan bermula pada jam 9 malam itu, penyampaian trofi Liga Perdana kepada Sabah akan diadakan.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan dan menyempurnakan penyampaian piala berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:13 PM