SHAHELMEY (dua kiri) menerima replika sumbangan tajaan diterima SAFA selepas pelancaran Akademi SAFA di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. FOTO IZWAN ABDULLAH
SHAHELMEY (dua kiri) menerima replika sumbangan tajaan diterima SAFA selepas pelancaran Akademi SAFA di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. FOTO IZWAN ABDULLAH
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah FC, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyifatkan skuad Sang Badak melakar pencapaian yang baik selepas tiga perlawanan Liga Super setakat ini.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berharap momentum kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini dapat terus dikekalkan.

"Pencapaian Sabah FC baik sekali dan saya harap momentum ini dapat diteruskan.

"Sebagaimana dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC sebelum ini, kita mensasarkan memenangi piala pada tahun ini. Jadi, kita doakan kejayaan mereka," katanya pada sidang media selepas melancarkan Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), di sini, hari ini.

Yang turut hadir CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir; Setiausaha Agung Safa, Datuk Jelani Hamdan dan Pengarah Akademi Safa, Azman Mastar.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menjaga hal ehwal Safa dan Sabah FC berikutan pengunduran bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Presiden Safa pada Januari lalu.

Sementara itu, Shahelmey mengingatkan peminat dan penyokong Sabah FC supaya terus menyokong pasukan bola sepak Sabah itu tidak kira sama ada ketika memenangi perlawanan atau sebaliknya.

"Saya mohon rakyat Sabah terus menyokong sama ada sewaktu kita menang atau mungkin dalam permainan ini ada kekalahan tetapi itu hanya sementara waktu.

"Jadi, teruskan menyokong Sabah FC, pasukan kebanggaan kita," katanya.

Sabah FC menang dalam ketiga-tiga perlawanan Liga Super setakat ini, bermula dengan kejayaan 4-0 ke atas PDRM FC, diikuti 3-1 ketika bertemu Kelantan United FC di Stadium Likas, di sini dan 2-1 ketika menentang Kuching City FC di Kuching, Sarawak.

Berikutan pencapaian itu, skuad Sang Badak kini berada di kedudukan kedua carta liga dengan mengumpul sembilan mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Esok, Sabah FC akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang untuk bertemu Sri Pahang FC dalam aksi keempat Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:18 PM