AHLI Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra. FOTO Hafiz Sohaimi
AHLI Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra. FOTO Hafiz Sohaimi
Fabian Peter


DUA pemain badminton profesional yang digantung kerana mengatur perlawanan, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang harus memikirkan semasak-masaknya sebelum mengemukakan rayuan.

Hari ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan mengesahkan Zulfadli dan Chun Seang didapati melanggar Kod Tatatertib BWF mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan yang menyebabkan mereka dikenakan penggantungan 20 dan 15 tahun daripada sebarang aktiviti badminton.

Dua pemain itu, yang didapati terbabit sejak 2013, turut didenda masing-masing AS$25,000 (RM98,315) dan AS$15,000 (RM58,989).

Namun di bawah Klausa 14 prosedur kehakiman BWF, kedua-duanya mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

Ahli Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia menjelaskan proses rayuan itu bukan mudah seperti disangka.

“Pemain mempunyai peguam mereka sendiri, jadi biarkan mereka menentukan langkah seterusnya. Apa yang boleh saya katakan, terdapat proses yang perlu dilalui.

“Mereka perlu menentukan sekiranya mahu mengemukakan rayuan dalam tempoh 21 hari dan sekiranya mahu meneruskannya, mereka terlebih dulu harus membayar denda secara penuh. Kemudian mereka perlu membayar AS$500 (RM1,966) sebagai deposit dan menghadiri pendengaran kes di depan panel rayuan yang disertai tiga orang.

“Sekarang mereka mungkin boleh mengemukakan rayuan untuk hukuman lebih ringan tapi ada kemungkinan ia (keputusan) akan kekal ataupun meningkat. Jadi, mereka perlu memutuskannya secara teliti sekiranya mereka mahu meneruskan rayuan atau tidak,” kata Jadadish.

Biarpun hukuman BWF itu dianggap keras namun Jadadish berkata, hukuman itu adalah munasabah dari pandangan BAM.

“Pemain ini masih boleh kembali selepas menjalani hukuman. Mungkin terus kepada kejurulatihan. Ia mungkin menjadi denda sepanjang hayat dan itu boleh menamatkan (karier) mereka,” katanya.

Kedua-dua hukuman bermula Januari lalu, ketika mereka kali pertama digantung oleh BWF. Ini kes pertama dalam sejarah sukan badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 2:51 AM