PRESIDEN FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo. Foto JOHOR Southern Tigers
PRESIDEN FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo. Foto JOHOR Southern Tigers
Syafiq Aznan


SKUAD kebangsaan bakal peroleh peluang terbaik apabila diberi kesempatan menguji pasukan dari Eropah, Ukraine dalam satu aksi persahabatan kelas A selepas ini.

Perkembangan itu diumumkan menerusi laman sosial JOHOR Southern Tigers susulan pertemuan antara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menerima mengadap Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo, hari ini.

"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima mengadap Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo hari ini. Pertemuan ini bagi membincangkan jalinan kerjasama hubungan antara Ukraine dan Malaysia melalui bola sepak.

"Turut dibincangkan adalah mengadakan perlawanan persahabatan kelas A antara pasukan kebangsaan Malaysia dan pasukan kebangsaan Ukraine di bawah bimbingan legenda bola sepak Ukraine, Andriy Shevchenko.

"Ia sebagai pendedahan kepada pasukan kebangsaan dan juga dapat membantu menaikkan kedudukan pasukan kebangsaan di dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," kata kenyataan terbabit.

Sebagai rekod, Ukraine kini menghuni tangga ke-35 dunia dan layak ke saingan Piala Dunia sekali iaitu pada 2006 namun berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir sekali gus pencapaian terbaik mereka pada kejohanan terbesar dunia itu.

Pasukan yang terkenal dengan julukan 'Kuning Biru' itu turut beraksi dalam dua edisi Kejohanan Eropah iaitu pada 2012 dan 2016 namun sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Antara beberapa pemain ternama Ukraine yang sedang menempa nama dalam dunia bola sepak termasuklah Andriy Yarmolenko yang beraksi bersama Borussia Dortmund, pemain sayap Schalke 04, Yevhen Konoplyanka dan juga penjaga gol Shakhtar Donetsk, Andriy Pyatov.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 6:58 PM