Lviv, Ukraine: Pemain tengah, Serhiy Sydorchuk (gambar) menjaringkan gol pada setiap penampilannya di peringkat antarabangsa dan kali ini membantu Ukraine mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Macedonia pada aksi Kumpulan C kelayakan Euro 2016, pagi semalam.

Sydorchuk yang turut meledak jaringan ketika masuk sebagai pemain gantian untuk membantu negaranya menewaskan Belarus, 2-0 awal pagi Jumaat lalu, menyelamatkan negaranya apabila menghasilkan gol dalam masa kecederaan babak pertama.

Evgeny Konoplyanka menjana pergerakan gol berkenaan apabila membuat hantaran lintang dan Sydorchuk tiba tepat pada masanya untuk melepaskan rembatan.

"Kami gembira dengan keputusan itu, namun tidak puas hati aksi dipamerkan. Minit terakhir cukup mendebarkan.

"Kami sepatutnya mampu menghasilkan satu atau dua lagi gol untuk mengelak daripada terus tertekan di hujung aksi," kata Sydorchuk.

Tuan rumah melepaskan peluang menambah kelebihan pada minit ke-47 apabila sepakan penalti diambil Andriy Yarmolenko singgah di palang selepas Roman Zoulya dijatuhkan pertahanan lawan.

Peluang terbaik Macedonia hadir pada minit ke-45 menerusi rembatan penyerang Adis Jahovic, tetapi cubaannya diselamatkan penjaga gol, Andriy Pyatov.

Perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-80 selepas sebiji mercun meletup berhampiran penjaga gol Macedonia, Tomislav Pacovski.

Ukraine yang ditewaskan Slovakia, 1-0 pada perlawanan pembukaan kini mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:10 AM