ZINEDINE Zidane
ZINEDINE Zidane
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui bertanggungjawab selepas skuad kendaliannya tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol apabila tewas mengejut kepada kelab kerdil, Leganes pada suku akhir awal pagi semalam.

Juara Eropah, Real tewas 1-2 pada aksi kedua di Bernabeu dan pelawat melangkah ke separuh akhir menerusi kaedah jaringan di tempat lawan meskipun kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat selepas Leganes tewas 0-1 di tempat sendiri minggu lalu.

“Saya bertanggungjawab atas semua ini. Ia satu kegagalan buat saya,” kata Zidane yang baru-baru ini melanjutkan kontraknya hingga 2020.

Sambil mengaku ia catatan terburuknya sepanjang bergelar jurulatih, pengendali Perancis itu menegaskan: “Ia keputusan yang logik. Pelawat bermain dengan baik sedangkan kami tidak.

“Ia satu kejutan. Kami melakukan apa yang sepatutnya pada aksi pertama. Tiada siapa menjangkakan keputusan sebegini terutama saya tapi inilah bola sepak.

“Saya pengurus pasukan ini. Saya memilih pemain dan saya melakukan kesilapan. Saya perlu mencari jalan penyelesaiannya. Saya akan terus melawan, berusaha dan memenuhi apa saja tuntutan pasukan.”

PEMAIN Real Madrid Isco (tengah) bersaing dengan pemain Leganes, Gabriel Appelt (kiri) dan Tito, awal pagi semalam.
PEMAIN Real Madrid Isco (tengah) bersaing dengan pemain Leganes, Gabriel Appelt (kiri) dan Tito, awal pagi semalam.

Javi Eraso memberikan gol pendahuluan buat Leganes pada minit ke-32 menerusi rembatan jarak jauh yang melencong sebelum menerjah gawang tuan rumah.

Karim Benzema menyamakan kedudukan pada awal babak kedua hasil hantaran Lucas Vazquez tetapi penyerang Brazil, Gabriel Pires menjaringkan gol kemenangan pasukannya menerusi tandukan, lapan minit kemudian.

Ia episod yang memedihkan buat skuad kendalian Zidane kerana walaupun berada dalam kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara dan akan menentang Paris Saint-Germain tiga minggu lagi, mereka sebenarnya tidak mengharungi kempen domestik dalam keadaan sepatutnya apabila ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Barcelona.

Malah, penyokong Real pula semakin berani meluahkan rasa tidak puas hati dan mengejek pemain pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 2:43 AM