BENZEMA (tengah) menjaringkan gol penyamaan Real. — FOTO Reuters
BENZEMA (tengah) menjaringkan gol penyamaan Real. — FOTO Reuters
AFP

REAL Madrid dan Barcelona kedua-duanya bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan yang mengukuhkan kelebihan mereka di puncak La Liga awal pagi tadi ketika Gareth Bale diejek penyokong sendiri di Santiago Bernabeu.

Barca memerlukan gol kemenangan lewat daripada Arturo Vidal untuk mengalahkan kelab tercorot Leganes 2-1 selepas Luis Suarez menanduk masuk sepakan percuma Lionel Messi untuk memadamkan gol hebat penyerang Leganes, Youssef En-Nesyri.

Madrid ketinggalan selepas 110 saat menentang Real Sociedad namun Karim Benzema menjaringkan gol keenam dalam lima perlawanan, sebelum Fede Valverde dan Luka Modric melengkapkan kemenangan 3-1 pada babak kedua.

Ia bermakna Atletico Madrid makin hilang cengkaman selepas seri 1-1 di Granada, dengan Real Sociedad kekal di tangga kelima, lima mata di belakang pendahulu.

SUAREZ (tengah) menanduk masuk gol penyamaan Barcelona di Stadium Butarque. — FOTO EPA
SUAREZ (tengah) menanduk masuk gol penyamaan Barcelona di Stadium Butarque. — FOTO EPA

Kebangkitan Madrid bagaimanapun dibayangi ejekan dan cemuhan buat Bale selepas kontroversinya ketika meraikan kemenangan Wales ke atas Hungary minggu lalu. Dia meraikannya dengan bendera yang tertulis: “Wales. Golf. Madrid.”

Penyokong mengejek apabila namanya diumumkan sebelum sepak mula malah lebih kuat apabila dia masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua.

“Saya tak boleh beritahu anda sama ada ia adil atau tidak.” kata pengurus Real, Zinedine Zidane selepas perlawanan. “Tapi kami memerlukan penyokong bersama kami. Saya tidak boleh mengawalnya, begitu juga Gareth atau sesiapa pun. Namun Gareth masuk dan dia bermain dengan cemerlang.”

Tanpa Bale, Benzema meneruskan prestasi hebatnya dengan satu lagi gol dan umpanan gol kepada Modric. Valverde memberikan Madrid pendahuluan dengan rembatan yang terbias dari penjuru kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 7:42 AM