GILMAR (kiri) idam satu piala untuk musim ini. -Foto fail
GILMAR (kiri) idam satu piala untuk musim ini. -Foto fail
Rodly Fadly


PENYERANG import Perak, Gilmar menganggap sasaran memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini realistik berdasarkan skuad dimiliki jurulatih Mehmet Durakovic.

Gilmar yang menyertai pasukan itu pada pertengahan musim lalu berkata, selain persiapan rapi, skuad kali ini lebih mantap kerana semakin serasi dengan corak permainan serta taktikal diterapkan jurulatih dari Australia itu.

Walaupun kehilangan beberapa pemain seperti Thiago Junior, Yasir Pinto, Shahrom Kalam dan Zaquan Adha Radzak, namun Gilmar berkata, ia tidak melumpuhkan The Bos Gaurus kerana sebahagian besar pemain yang menjadi tulang belakang pasukan masih kekal.

“Pemain seperti Nasir (Basharuddin), Shahrul (Saad) dan Nazirul (Naim Che Hashim) sudah lama bersama Perak. Malah, beberapa pemain muda seperti Beto (Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri) dan Syazwan (Zaipol Bahari) juga kian meningkat.

“Saya yakin kami mampu mencari pengganti Thiago walaupun kehilangannya diakui sedikit sebanyak dirasai memandangkan sudah tiga musim dia bersama pasukan ini.

“Tapi dalam bola sepak situasi sebegini memang sukar dielak, tidak ada pemain akan kekal dengan satu pasukan selama-lamanya,” kata Gilmar.

Setakat ini, Durakovic masih menguji beberapa pemain untuk mengisi tempat Thiago sekali gus melengkapkan kuota import pasukan itu.

Selain Gilmar, jurulatih itu mengekalkan Leandro de Santos serta membawa masuk dua import baru, Wander Luiz dan Misagh Bahadoran.

Pemain import Brazil itu menyambut kehadiran rakan senegaranya, Luiz dengan rasa gembira kerana menganggap Perak kini mempunyai rangkaian penggempur lebih berbisa.

“Saya gembira kerana akhirnya mendapat rakan yang akan membantu di barisan serangan. Luiz seorang penyerang hebat serta berpengalaman.

“Setakat ini, apabila digandingkan dalam beberapa perlawanan ujian, saya dan Luiz cepat serasi. Saya yakin kami mampu membentuk gandingan mantap serta lebih banyak gol dihasilkan musim ini.

“Jadi, tidak keterlaluan jika saya katakan, impian kami untuk menjuarai sekurang-kurangnya satu piala bukan sekadar angan-angan sebaliknya mampu dicapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:11 PM