FELCRA tekad bukti kemampuan dalam Liga Perdana.
FELCRA tekad bukti kemampuan dalam Liga Perdana.
Syafiq Aznan


PENDATANG baharu Liga Perdana, FELCRA FC nyata mahu menunjuk ‘belang’ untuk muncul selaku pencabar kejuaraan liga pada penampilan sulungnya pada musim hadapan.

Ia dibuktikan selepas skuad The Rivals itu menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman bagi membantu pasukan terbabit memberi saingan kepada 11 lagi pesaing dalam divisyen dua itu.

Menerusi satu kenyataan malam tadi, FELCRA FC berjaya mendapat khidmat beberapa pemain berstatus pemain kebangsaan seperti Shahrom Kalam (Perak) dan Fandi Othman (Melaka United) serta beberapa pemain berpengalaman yang pernah beraksi dalam Liga Super seperti Asrol Ibrahim dan Badrul Hisyam (T-Team) serta Nizam Abu Bakar (PKNS FC).

Pada masa sama, mereka turut menandatangani 21 pemain untuk melengkapkan senarai yang akan membawa cabaran pasukan itu pada musim hadapan.

Selain itu, FELCRA FC bakal mendapat sentuhan ala samba apabila dibimbing jurulatih baharu daripada Brazil iaitu Tarcisio Pugliese.

Tarcisio akan dibantu oleh bekas pemain FELCRA FC yang juga bekas pemain kebangsaan, Fadzli Shaari.

“FELCRA FC mampu memberi cabaran kepada pasukan lain pada musim hadapan sekali gus meletakkan sasaran untuk berada dalam kedudukan lima terbaik dan layak ke Piala Malaysia,” kata kenyataan berkenaan.

FELCRA FC yang tewas di peringkat separuh akhir kepada Sime Darby FC dalam saingan Liga FAM musim lalu, layak secara merit ke Liga Perdana selepas lawannya itu menarik diri bagi saingan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:43 PM