DIMAS (kiri) akan di beri kelonggaran untuk menyertai skuad kebangsaan Indonesia menjelang persiapan Sukan Asia.
DIMAS (kiri) akan di beri kelonggaran untuk menyertai skuad kebangsaan Indonesia menjelang persiapan Sukan Asia.
Saiful Affendy Sapran


SELANGOR memberi jaminan akan memberi kelonggaran kepada dua tonggak import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan Indonesia menjelang persiapan Sukan Asia, Ogos depan di mana negara jiran itu menjadi tuan rumah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi di Jakarta, semalam.

“Selangor akan mengikut arahan daripada Ketua Umum PSSI berhubung jadual serta tempoh pelepasan pemain yang akan ditetapkan oleh PSSI. Saya berterima kasih atas jemputan dan jamuan untuk hadir ke sini,” kata Subahan seperti dipetik menerusi laman web rasmi PSSI.

Pertemuan antara kedua-dua badan induk bola sepak itu juga membincangkan mengenai jalinan kerjasama serta agenda lain termasuklah Sukan Asia.

Sementara itu, Edy Rahmayadi menghormati pandangan Subahan.

“PSSI berterima kasih atas kunjungan dan persetujuan Selangor yang memahami pentingnya kedudukan Indonesia sebagai tuan rumah Sukan Asia 2018.

“Kami berharap hubungan PSSI dan Selangor serta FAM akan semakin erat kerana kita adalah keluarga besar bola sepak di Asia Tenggara,” katanya.

Indonesia bukan saja melihat Sukan Asia 2018 sebagai temasya yang membabitkan pelbagai jenis sukan, tetapi mahu membuktikan mereka mampu menjadi penganjur yang berjaya sejak kali terakhir menganjurkannya pada tahun 1962.

Bola sepak adalah acara sukan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Indonesia selepas PSSI menamatkan hukuman penggantungan dua tahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika ini, badan induk itu sedang melakukan proses pemilihan pemain yang akan diteruskan pada tahun ini.

Mengikut perancangan, pasukan kebangsaan mereka akan memulakan sesi latihan pusat bulan ini dan akan melalui beberapa fasa sehinggalah bermulanya saingan Sukan Asia, Ogos depan.

Edy Rahmayadi menerusi laporan media Indonesia sebelum ini membidas keputusan dua pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia itu berpindah ke Selangor dengan melabel mereka sebagai tidak patriotik dan ‘mata duitan’.

Dia turut bimbang sekiranya Selangor tidak membenarkan dua pemain itu menyertai latihan pusat skuad Indonesia bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 12:45 AM