Pizan Mustapa

Petaling Jaya: Harian Metro menerusi pasukan Metro Rangers muncul juara pada Kejohanan Bowling Yayasan Peneraju (YP) & Media Celebrating 17,500 Lives Changed yang berlangsung di U-Bowl, One Utama, baru-baru ini.

Metro Rangers 1 diwakili Asrizal Aris (gambar), Iskandar Shah Mohamed, Syed Arnez Amdan Syed Khalil (YP) dan Mohamad Amirol Wafi Mehad (Penerima Faedah YP) dinobatkan sebagai juara selepas berjaya melakukan 1,527 jatuhan pin sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500.

Manakala naib juara pasukan Sinar Karangkraf 1 dengan jatuhan pin 1,471 menerima wang tunai RM1,000 sambil pasukan Sinar Karangkraf 2 (1,430) di tempat ketiga menerima wang tunai RM750. Sementara pasukan NST 1 dan Main Sampai Pencen (Utusan Malaysia) memenangi kategori pasukan paling ‘Santun’ dan ‘Happening’, kedua-duanya menerima wang tunai RM250.

Dalam kategori individu, Mohd Saiful Ali (YP) dan Mazjulinayati Mohamad (NST 1) memenangi gelaran Raja dan Ratu Bowling manakala Raja dan Ratu Longkang dimenangi Muhammad Nabil Muhammad Nasser (PR Agency) dan Ain Najwa Arba'in (Penerima faedah YP).

Kejohanan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah berupa percutian dua orang ke Phuket, Thailand yang dimenangi oleh Erdakhursyiah Basir dari Bernama.

Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Yayasan Peneraju, Azrul Izwan Amir Nazarullah berkata, pertandingan ini dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada rakan media yang banyak membantu menyebarkan maklumat kepada masyarakat berkenaan Yayasan Peneraju dan dapat mengukuhkan hubungan kerja bersama media.

“Media adalah rakan kerja dengan menyebarkan maklumat kepada orang ramai tentang kewujudan Yayasan Peneraju di samping program seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan media dengan pengurusan Yayasan Peneraju,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Strategi & Perhubungan, Mohd Ariff Ithnin dan turut hadir memeriahkan kejohanan, Pegawai Khas Pejabat Ketua Eksekutif, Syed Arnez Amdan, Ketua Pejabat Pengurusan Program, Zatur-Rawihah Omar, Ketua Pengurusan Penerima Faedah, Ahmad Shukri Zulkifli dan Pengarah Bersekutu Pejabat Pengurusan Program (Peneraju Profesional), Nikman Ahmad Fuzi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:02 AM